Pasar raya di Sandakan musnah terbakar

Pasar raya di Sandakan musnah terbakar

SANDAKAN, 20 Sept – Sebuah bangunan menempatkan pasar raya Fong Meng di Batu 8 Jalan Labuk, musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Mohd Razali Awang Ahmad berkata kebakaran berlaku kira-kira pukul 4.20 pagi itu memusnahkan keseluruhan bangunan yang menempatkan pasar raya yang diusahakan oleh syarikat tempatan di sini.

Katanya seramai 27 anggota bomba menggunakan lima jentera pergi ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.23 pagi.

Menurutnya anggota bomba menghadapi kesukaran ketika operasi pemadaman api disebabkan tekanan air rendah daripada pili bomba dan turut menggunakan sumber air daripada jentera bomba.

Beliau berkata api dapat dikawal pada pukul 5.45 pagi dan operasi memadam kebakaran tamat pada 12.48 tengah hari.

Mohd Razali berkata punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – Bernama