Pasaran ASEAN perlu masa

Pasaran ASEAN perlu masa

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) – Perjalanan bagi mewujudkan pasaran tunggal ASEAN dan asas pengeluaran bersama, sudah pun bermula, namun ia akan mengambil masa yang agak lama untuk berkembang sepenuhnya berdasarkan perbezaan tahap pembangunan ekonomi di negara anggota.

“Ia berjalan agak perlahan, namun bergerak, itu yang penting,” kata Profesor Dr Jorn Dosch, Kursi Kerjasama Politik dan Pembangunan Antarabangsa, Jabatan Politik dan Sains Pentadbiran, Universitat Rostock, kepada Bernama dalam temu bual.

Dosch berkata tidak akan berlaku 100 peratus aliran bebas barangan dan perkhidmatan merentas sempadan (ASEAN) (menjelang akhir tahun), namun yang penting ialah mengambil langkah kecil untuk terus berjaya.

ASEAN mahu mewujudkan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), satu pasaran tunggal bagi 10 negara anggotanya, yang akan membolehkan pelabur meningkatkan capaian pasaran kepada seramai 660 juta penduduk.

AEC menyasarkan untuk mewujudkan satu asas pengeluaran tunggal yang membolehkan perniagaan meneroka dan melengkapkan produk dan perkhidmatan di rantau ini, mewujudkan rangkaian merentas industri, dan terlibat dalam rangkaian bekalan global.

Jorn berkata ASEAN sudah membuat kemajuan yang baik dalam bidang yang termaktub dalam pelan tindakan AEC, termasuk urusan kastam, yang kini memudahkan penghantaran kontena antara negara.

“Selain itu, ia melibatkan bidang undang-undang persaingan dan dasar. Sebagai contoh, kini syarikat asing lebih mudah membawa kes ke mahkamah jika mereka tidak berpuas hati di mana-mana sahaja mereka beroperasi,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata kemajuan yang dicapai dalam kalangan negara anggota ASEAN sebahagian besarnya melibatkan isu teknikal, yang tidak mencukupi untuk menjadi tajuk berita.

Berdasarkan pelbagai kajian yang sudah diterbitkan, Jorn berkata jika pelaksanaannya berjalan seperti keadaan semasa, ASEAN boleh merealisasikan objektifnya untuk menjadi pasaran dan asas pengeluaran tunggal menjelang 2030.

ARTIKEL YANG SAMA