Pasaran Asia pulih selepas rekod baru Wall Street

Pasaran Asia pulih selepas rekod baru Wall Street

HONG KONG, 13 Julai – Pasaran Asia berpulih sekali lagi pada hari ini dengan pelabur mendapat semangat daripada satu lagi rekod yang dicatat di Wall Street dan desas-desus mengenai perangsang daripada bank pusat.

Nikkei Jepun sekali lagi menjadi pasaran menonjol, meningkat di sebalik yen yang lebih lemah dan menghapus hampir kesemua kerugian yang dialami selepas pengundian mengejutkan Britain pada 23 Jun untuk meninggalkan Kesatuan Eropah.

Satu suasana optimistik telah menyelubungi lantai perdagangan dewan niaga sepanjang minggu, selepas data AS pada Jumaat menunjukkan ekonomi nombor satu dunia mewujudkan lebih banyak pekerjaan daripada dijangkakan pada bulan lalu.

Satu kemenangan besar untuk parti pemerintah Jepun pada hujung minggu dan pilihan pengganti yang lebih cepat daripada dijangka untuk David Cameron sebagai perdana menteri Britain juga telah menambah keyakinan.

Parti pemerintah Australia juga disahkan pada hujung minggu sebagai pemenang pilihan raya umum yang diadakan lapan hari sebelumnya.

Pengundian di Jepun telah merangsang jangkaan bahawa pemimpin negara akan melaksana program perangsang besar untuk memulihkan semula pertumbuhan yang terbantut, dengan laporan berkata ia mungkin berjumlah 10 trilion yen. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA