Pasaran Asia susut

Pasaran Asia susut

TOKYO, 30 Dis – Kebanyakan pasaran saham Asia Pasifik ditutup rendah hari ini ekoran situasi harga minyak yang menjejaskan sentimen belian, namun Tokyo menamatkan dagangan dengan tanda positif sebagai antara bursa berprestasi terbaik tahun ini.

Jualan serantau terus meningkat selepas harga minyak terus jatuh menjelang pengumuman data bekalan dan pengeluaran minyak AS sekali gus mengekalkan kebimbangan berhubung permintaan dan kekuatan ekonomi global.

“Sentimen risiko sangat merujuk kepada harga minyak mentah,” kata Hiroyuki Yamamuro, penganalisis di Ueda Harlow kepada Bloomberg News.

Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.41 peratus, sementara Shanghai susut dari keuntungan awal untuk jatuh 0.10 peratus pada sesi dagangan tengah hari.

Seoul susut 0.25 peratus ketika ditutup, manakala Singapura pula jatuh 0.36 peratus dan Taiwan susut 0.17 peratus.

Bagaimanapun, penanda aras Tokyo, Nikkei 225 naik 0.27 peratus pada hari terakhir sesi dagangan tahun ini di Jepun.

Indeks berkenaan melonjak lebih sembilan peratus pada 2015 untuk berada pada kedudukan antara pasaran utama berprestasi terbaik, menjangkaui kebanyakan pasaran lain di AS dan Asia Pasifik.

Pasaran kewangan Jepun ditutup esok dan akan dibuka semula pada 4 Januari selepas cuti umum Tahun Baharu.

Sementara itu, Sydney menamatkan dagangan 1.0 peratus lebih tinggi, Wellington ditutup 0.43 peratus dan Shenzhen menambah 0.87 peratus.

“Pasaran akan terus bergerak disokong oleh harga minyak,” kata Chihiro Ohta, pengurus besar maklumat pelaburan di SMBC Nikko Securities. “Kami akan terus berhati-hati untuk ini bagi tiga bulan pertama atau separuh pertama tahun depan.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA