Pasaran bon Asia Timur meningkat AS$8.3 trilion

Pasaran bon Asia Timur meningkat AS$8.3 trilion

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) – Saiz pasaran bon mata wang tempatan yang sedang muncul di Asia Timur terus berkembang pada tiga bulan pertama 2015, mencecah US$8.3 trilion (US$1=RM3.74), berbanding US$8.2 trilion pada suku sebelumnya, kata Bank Pembangunan Asia (ADB).

Pengarah Penyelidikan Makroekonomi dan Jabatan Kerjasama Serantau ADB, Dr Joseph Zveglich Jr, ketika membentangkan laporan terbaru Mengawas Bon Asia (MBA) bank itu berkata, walaupun wujud ketidaktentuan pasaran disebabkan kebimbangan global, suku pertama 2015 menyaksikan pasaran bon mata wang tempatan di Asia Timur terus berkembang.

“Pertumbuhan itu bagaimanapun menyederhana, berkembang hanya 1.6 peratus pada suku pertama 2015 berbanding dua peratus pada suku terakhir 2014.

“Bon kerajaan menyumbang 60 peratus daripada keseluruhan bon,” kata Zveglich.

ADB dalam laporan MBA Jun 2015 untuk kali pertama dari Kuala Lumpur berkata, Malaysia dalah pasaran ketiga terbesar untuk bon konvensional dan masih menjadi pasaran sukuk (bon Islam) terbesar di rantau ini.

“Jumlah bon mata wang tempatan yang cemerlang di Malaysia merosot 2.7 peratus suku ke suku kepada RM1,073 bilion (US$290 bilion) pada akhir Mac 2015, dengan sukuk merupakan 55 peratus daripada jumlah bon cemerlang pada akhir Mac,” katanya.

Ini pada US$5.3 trilion.

Sebagai sebahagian daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), Zveglich berkata, saiz keseluruhannya tidak berubah pada suku pertama 2015, iaitu 57.7 peratus daripada KDNK, berbanding 57.6 peratus pada tiga bulan sebelum ini.

“Republik Korea dan Malaysia mempunyai kadar bon cemerlang tertinggi daripada nisbah KDNK masing-masing pada 126 peratus dan 96 peratus,” katanya.

Zveglich berkata, pasaran bon sedang muncul Asia Tenggara menjadi tidak menentu berikutan peningkatan kebimbangan global mengenai krisis hutang Greece yang berlarutan dan kemungkinan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat.

“Pasaran bon sedang muncul di Asia Timur menghadapi peningkatan risiko, kerana kecairan rendah di pasaran bon rantau ini akan menjejaskan lagi pengaliran keluar dana, membawa kepada turun naik harga.

“Kemungkinan kenaikan kadar faedah AS akan mengukuhkan lagi dolar, menjejaskan penerbit bon mata wang asing dan meningkatkan kos servis hutang dalam terma mata wang tempatan ke atas bon dolar AS sedia ada,” tambahnya.