Pasaran global dalam jangkauan

Pasaran global dalam jangkauan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Dengan kebangkitan revolusi digital, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah berkembang menjadi lebih kompleks, oleh itu, mereka akan memerlukan lebih banyak bantuan dan sokongan dalam pelbagai komponen perniagaan mereka.

Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri menjelaskan, dengan internet dan teknologi, PMKS kini dapat menjalankan perniagaan mereka dengan cara yang lebih cepat, menjangkau pasaran yang lebih luas, perdagangan merentasi sempadan yang memberikan mereka peluang untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi antarabangsa tanpa memerlukan perjalanan fizikal.

“Pendek kata, pasaran global keseluruhan kini dalam jangkauan PMKS,” ujar Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.

Berucap pada Majlis Pelancaran MerchantSuite Bank Baiduri di Hotel Radisson, hari ini, Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, kini tidak lagi sekadar ekonomi global, tetapi kita kini hidup selari dengan ekonomi digital.

“Ekonomi sedang membangun dengan pantas dan melihat lebih banyak perniagaan di mana-mana termasuk Brunei Darussalam, memasuki dunia dalam talian dan menyahut perubahan digital dan teknologi yang dikenali sebagai ‘Revolusi Perindustrian Keempat’, salah satu agenda utama Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland tahun ini.”

Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapannya pada Majlis Pelancaran MerchantSuite.
Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapannya pada Majlis Pelancaran MerchantSuite.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, ia juga merupakan satu daripada agenda utama Sidang Kemuncak AS-ASEAN yang diadakan pada Februari awal tahun ini di mana pemimpin-pemimpin Amerika Syarikat (AS) dan ASEAN, termasuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan mengenai pembangunan PMKS dan ekonomi digital kerana kedua-dua sektor bersama-sama berfungsi sebagai tulang belakang ekonomi ASEAN.

Dalam ucapannya itu, Yang Berhormat Pehin juga melahirkan perasaan amat gembira untuk melihat bagaimana bank-bank di negara ini mengikuti evolusi perniagaan tempatan dan keperluan PMKS pada masa ini.

“Ini menunjukkan bahawa bank kita lincah, terkini, dan yang lebih penting, bersemangat untuk memainkan peranan mereka dalam menyokong usaha dan matlamat kerajaan Kebawah Duli dalam mewujudkan dan merealisasikan persekitaran yang lebih pro-perniagaan dan meningkatkan ‘ease of doing business’ di Brunei Darussalam.”

Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin, Pierre Imhof bergambar ramai bersama para tetamu yang lain.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin, Pierre Imhof bergambar ramai bersama para tetamu yang lain.

‘Ease of Doing Business’ jelas beliau, amat penting jika ikhlas mahu membantu PMKS memulakan dan berkembang daripada mikro kepada kecil, kecil kepada sederhana dan daripada sederhana kepada perniagaan besar.

Menurut beliau, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah menggesa agensi-agensi kerajaan untuk memastikan bahawa proses, prosedur dan peraturan di Brunei mengikut amalan-amalan antarabangsa.

“Alhamdulillah, terdapatnya perkembangan positif berdasarkan maklum balas terus daripada PMKS. Walau bagaimanapun, kita masih mempunyai banyak yang perlu dilakukan untuk melengkapkan PMKS dengan kemahiran dan visi yang betul, dan di sinilah Darussalam Enterprise (DARE) memainkan peranan penting, di mana ia melambangkan perkongsian komprehensif untuk memacu pertumbuhan ekonomi antara sektor swasta, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan yang berkaitan,” ujar beliau lagi.

Beliau juga menyatakan perasaan gembiranya melihat usaha Bank Baiduri dalam mengenal pasti keperluan untuk membantu PMKS dan perniagaan tempatan di negara ini yang berusaha untuk mengembangkan dan menjangkau pasaran yang lebih luas, kedua-duanya melalui dalam dan luar talian (online and offline).

ARTIKEL YANG SAMA