Pasaran global suram

Pasaran global suram

NEW YORK, 5 Jan (AFP) – Bukti baru kemelesetan ekonomi China menyebabkan pasaran saham dunia merosot semalam, dengan Eropah dan Amerika Syarikat serta Asia merosot dalam permulaan suram pada tahun 2016.

Ekuiti Shanghai merosot tujuh peratus, memimpin kemerosotan Asia, tatkala data kilang yang lebih lemah menimbulkan kebimbangan mengenai keadaan ekonomi kedua terbesar dunia.

Di Eropah, Frankfurt mencatat kerugian paling teruk, merosot 4.3 peratus. Milan merosot 3.2 peratus dan Paris merosot 2.5 peratus.

Saham London kerugian 2.4 peratus, dengan syarikat perlombongan China merosot paling banyak.

Wall Street menyertai penjualan, dengan S&P 500 merosot 1.5 peratus.

Seorang lelaki berdiri di hadapan panel skrin memaparkan penutupan Indeks Hang Seng dan Indeks Hang Seng China Enterprises di Hong Kong. – Reuters
Seorang lelaki berdiri di hadapan panel skrin memaparkan penutupan Indeks Hang Seng dan Indeks Hang Seng China Enterprises di Hong Kong. – Reuters

“Ia bukan satu permulaan yang baik untuk tahun 2016. Sebenarnya ia merupakan salah satu hari perniagaan pertama paling teruk yang pernah dicatat,” kata penganalisis pasaran Jasper Lawler di CMC Markets UK.

“Pasaran telah dibelenggu kebimbangan baru bahawa kemelesetan ekonomi China sedang menambah momentum selepas data pengeluaran yang lemah,” tambah beliau.

Penjualan berlaku tatkala pasaran kewangan dibuka semula selepas cuti tahun baru pada Jumaat.

Mereka yang mencatat kemerosotan paling banyak di London adalah syarikat perlombongan Anglo American, yang merosot 7.2 peratus, dan Glencore yang menurun 5.8 peratus, disebabkan kebimbangan permintaan dalam pengguna komoditi utama China.

Di AS, beberapa pemenang ekuiti terbesar dari tahun 2015 terjejas teruk dalam satu kemerosotan yang dikatakan oleh penganalisis berpunca daripada pemerolehan keuntungan. Amazon merosot 5.8 peratus, Netflix 3.9 peratus dan Priceline, Facebook dan syarikat induk Google Alphabet semuanya kerugian kira-kira 2.3 peratus.

Pasaran global juga takut dengan ketegangan yang meletus di antara Iran dan Arab Saudi. Ekoran bantahan marah mengenai pelaksanaan hukuman mati ulama Syiah dan aktivis Sheikh al-Nimr pada Sabtu di Arab Saudi, Arab Saudi dan seterusnya Bahrain dan Sudan memutuskan hubungan dengan Iran, kuasa utama Syiah.

Harga minyak pada mulanya meningkat disebabkan perselisihan Saudi-Iran, tetapi berkurangan tatkala peniaga kembali menumpu pada kemelesetan bekalan global yang berlarutan serta data lemah di China.

ARTIKEL YANG SAMA