Pasaran hartanah China meningkat

Pasaran hartanah China meningkat

BEIJING, 18 Dis (Bernama) – Sektor hartanah China menyaksikan petunjuk positif pada November apabila harga rumah meningkat dalam banyak bandar raya yang dikaji, demikian lapor Agensi Berita Xinhua, hari ini.

Daripada 70 bandar raya bersaiz besar dan sederhana yang dikaji bulan lepas, harga rumah baharu meningkat bulan ke bulan di 33 bandar raya, naik daripada 27 pada bulan sebelumnya, agensi berita itu memetik data daripada Biro Perangkaan Negara (NBS).

Xinhua berkata menurut NBS, 27 bandar raya melaporkan penurunan harga bulan ke bulan, susut daripada 33 pada Oktober.

Bagi asas tahunan, pasaran perumahan China terus menggalakkan pada November, dengan 21 bandar raya mencatatkan kenaikan harga rumah baharu, meningkat daripada 16 pada Oktober.

Kren pembinaan dilihat di tapak pembinaan kompleks perumahan persendirian baru di Hong Kong, China pada 15 Disember. Sektor hartanah China menunjukkan harga rumah meningkat pada November. – Reuters
Kren pembinaan dilihat di tapak pembinaan kompleks perumahan persendirian baru di Hong Kong, China pada 15 Disember. Sektor hartanah China menunjukkan harga rumah meningkat pada November. – Reuters

“Harga rumah meningkat menunjukkan kesan dasar telah mereda,” agensi itu memetik perangkawan NBS, Liu Jianwei, sebagai berkata.

Kerajaan pusat telah memperkenalkan beberapa dasar keutamaan, termasuk penurunan kadar faedah dan kelonggaran keperluan bayaran pendahuluan, untuk menyokong pasaran hartanah. Pasaran perumahan China menghadapi kegawatan pada 2014 disebabkan permintaan lemah dan lambakan bekalan. Keadaan itu berterusan hingga 2015 dengan jualan dan harga turun dan pelaburan berkurangan.

Bagi membendung kelemahan pasaran perumahan dan kelembapan ekonomi, bank pusat China mengurangkan kadar faedah lima kali sejak November lepas dan menurunkan nisbah keperluan rizab bank-bank tiga kali sejak Februari.

ARTIKEL YANG SAMA