Pasaran hartanah Miri pelbagaikan peluang pelaburan

Pasaran hartanah Miri pelbagaikan peluang pelaburan

KOTA KINABALU, 18 Mei – Bidang hartanah Sarawak kian rancak walaupun dengan pencapaian yang kurang memberangsangkan akibat pengenalan garis panduan yang lebih ketat oleh Bank Negara dan yang terkini, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Pelabur kini boleh mengharapkan lebih banyak pembangunan selepas tahun 2014 yang dibelenggu dengan ketidaktentuan. Pameran dan acara eksklusif hartanah mula membentuk momentum pada ketika pemaju mengguna pakai strategi pemasaran yang lebih agresif dan menawarkan pakej menarik untuk menarik kembali pembeli.

Antara bandar yang muncul sebagai hab hartanah yang berpotensi adalah Miri di mana terdapat beberapa projek pembangunan yang menarik, terutama dalam sektor kediaman dan pembinaan campuran.

Property Hunter Expo Series 2015 akan mengadakan ekspo tahunannya di Miri pada 22-24 Mei ini untuk memberi peluang kepada pelabur untuk meninjau projek semasa dan akan datang di Sarawak, serta di Sabah, Semenanjung Malaysia dan Australia.

Senarai pempamer pada tahun ini adalah yang paling pelbagai setakat ini, yang mana membayangkan tahap keyakinan pemaju tempatan dan antarabangsa terhadap pasaran pelaburan hartanah Miri.

Pada 2014, Miri merupakan salah sebuah daripada bandar di Sarawak, termasuk Kuching dan Sibu, yang dikaji oleh Pusat Maklumat Hartanah Kebangsaan (Napic) dan hasilnya menunjukkan Sarawak mengatasi Selangor dari segi apresiasi kapital terhadap hartanah, selari dengan suasana pelaburan positif di negeri itu.

Indeks Harga Semua Rumah, dalam carta 13 tahun dari 2000 hingga 2013, menunjukkan Sarawak muncul dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) keempat tertinggi, pada 5.6 peratus di negara ini untuk hartanah, melangkaui Selangor, 4.89 peratus. Sabah mencatat CAGR tertinggi iaitu 8.48 peratus diikuti oleh Kuala Lumpur dengan 6.62 peratus dan Pulau Pinang dengan 5.95 peratus.

Pengasas Ho Chin Soon Research Sdn Bhd, Ho Chin Soon berkata CAGR yang kukuh membayangkan prospek pertumbuhan yang kukuh di Sarawak.

“Dari segi segmen hartanah, rumah teres di Miri mempunyai apresiasi kapital yang lebih tinggi, melangkaui Kuching.”

Pemerhati hartanah pada 2014 turut menyatakan bahawa pertumbuhan rancak Sarawak di kawasan utama, termasuk Kuching, Miri dan Bintulu, dipacu oleh Koridor Tenaga Boleh Dibaharui Sarawak (Score) dan muncul sebagai peneraju utama dalam ekonomi tempatan.

Menurut Menteri Pembangunan Perindustrian Negeri, Datuk Awang Tengah Ali Hassan, yang juga Menteri Kedua Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Score menarik lebih AS$8.3 bilion dalam pelaburan asing dan dalam negara.

Pasaran pelaburan hartanah juga diakui agak kendur selepas pelaksanaan GST, namun dengan lebih 46 peratus pengunjung Property Hunter Kuching Expo (1-3 Mei) percaya harga rumah akan terus meningkat dalam tahun depan, sekarang adalah masa yang sesuai untuk melakukan pembelian.

Pilihan hartanah yang luas akan ditawarkan kepada pembeli dari kediaman mampu milik dan kondominium mewah kepada apartmen di lokasi menarik di Australia akan dipamerkan sepanjang program tiga hari itu.

PH Expo Miri selama dua hari itu akan diadakan di Stadium Tertutup Miri dari 10 pagi hingga 8 malam. Untuk maklumat lanjut mengenai PH Expo Miri, sila layari www.propertyhunter.com.my atau hubungi +60 88 719 787.

ARTIKEL YANG SAMA