Pasaran kerja Singapura terkawal

Pasaran kerja Singapura terkawal

SINGAPURA, 15 Jun (Bernama) – Pasaran buruh Singapura kekal terkawal pada suku pertama 2015 dengan kadar penganggurannya masih rendah walaupun tawaran dan lebihan kerja agak sedikit, demikian menurut Kementerian Tenaga Kerja dan Jabatan Perangkaannya dalam laporan “Pasaran Buruh, Suku Pertama 2015”.

Selepas lima tahun mencatatkan peningkatan yang kukuh, pekerjaan berkurangan pada suku pertama 2015,

berikutan penurunan bermusim dan kedudukan sederhana dalam pertumbuhan pekerjaan dalam sektor perkilangan dan pembinaan, perdagangan runcit, perkhidmatan hartanah serta penyediaan makanan dan penginapan.

Pekerjaan berkurangan sebanyak 6,100 pada suku pertama 2015 berdasarkan penurunan bermusim dalam perkembangan pekerjaan dalam sektor-sektor yang keadaan perniagaan kurang memberangsangkan.

Bagi asas perbandingan tahun, jumlah pekerjaan meningkat kepada 3,617,800 pada Mac 2015, iaitu 2.7 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Menurut kementerian itu, selain faktor-faktor khusus industri, data itu juga menggambarkan bagaimana segmen ekonomi sedang bergerak untuk tidak bergantung kepada sumber tenaga manusia. Bagaimanapun, disebabkan data itu hanya mewakili satu suku tahunan sahaja, pemantauan ke atas perangkaan ini perlu dibuat dalam suku selanjutnya bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas. Jumlah tawaran pekerjaan stabil berbanding suku sebelum ini dan terus melebihi jumlah pencari kerja.