Pasaran modal Malaysia terus berkembang pada 2015

Pasaran modal Malaysia terus berkembang pada 2015

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) – Di sebalik persekitaran global yang mencabar, pasaran modal Malaysia terus berkembang apabila mencatatkan keseluruhan saiz pasaran modal sebanyak RM2.82 trilion, peningkatan sebanyak 2.1 peratus berbanding RM2.76 trilion pada 2014.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata pada 2015, pasaran modal kekal menjadi wadah utama bagi pengumpulan dana korporat dengan penerbitan pasaran utama berjumlah RM90.4 bilion, hampir sama dengan jumlah yang dikumpulkan pada 2014.

“Hampir RM3.9 bilion dikumpulkan melalui terbitan awam permulaan (IPO), dengan penyenaraian 10 syarikat baharu – enam syarikat memohon penyenaraian di Pasaran Utama sementara empat lagi syarikat di Pasaran ACE — di Bursa Malaysia.

“Tiga IPO ekuiti terbesar ialah Malakoff Corporation Bhd (RM2.7 bilion), Sunway Construction Group Bhd (RM0.48 bilion) dan Red Sena Bhd (RM0.4 bilion),” kata SC dalam Laporan Tahunan 2015 yang dikeluarkan hari ini.

Dari aspek prospek pada 2016 pula, SC berkata empat peristiwa utama pada penghujung 2015 berkemungkinan mencorakkan separuh tahun pertama 2016, iaitu pelonggaran tambahan Bank Pusat Eropah (ECB) pada awal Disember dan keputusan PBoC untuk mengukur renminbi berbanding kumpulan mata wang yang lebih luas.

Langkah Rizab Persekutuan US mengetatkan dasar pada pertengahan bulan dan ketiadaan pengurangan dalam had pengeluaran minyak rasmi OPEC, turut akan mencorakkan 2016.

“Ekonomi Malaysia dijangka kekal pada trajektori pertumbuhan pada 2016, meskipun pengembangan dalam KDNK menyederhana sedikit kepada sekitar 4.0 peratus-4.5 peratus,” kata SC.

Pertumbuhan akan terus ditentukan oleh permintaan domestik sementara pemulihan dalam sesetengah ekonomi maju akan membantu mengekalkan permintaan bagi eksport Malaysia.

SC berkata langkah pengubahsuaian Bajet Kerajaan Persekutuan 2016 yang diumumkan pada Januari 2016, mencerminkan komitmen kerajaan ke arah agenda pengukuhan fiskal, dengan unjuran pulangan lebih rendah ditangani melalui pelarasan perbelanjaan dan mengatur semula keutamaan projek pembangunan.

ARTIKEL YANG SAMA