Pasaran pesat membangun terus menarik pelabur global

Pasaran pesat membangun terus menarik pelabur global

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Pasaran pesat membangun kekal menarik kepada pelabur global berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Amerika Syarikat menjelang akhir tahun ini serta impak Brexit, kata UOB Asset Management (Malaysia) Bhd hari ini.

Pengarah Kanan dan Ketua Pegawai Pelaburan Francis Eng berkata aset di pasaran pesat membangun menawarkan profil pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding di beberapa negara maju memandangkan pelabur mahukan pulangan yang lebih baik.

Pertumbuhan ekonomi yang berterusan dalam pasaran pesat membangun, juga akan membantu meningkatkan daya tarikan terhadap rantau ini dalam kalangan pelabur global, katanya.

Bank itu mengunjurkan pertumbuhan sebenar Keluaran Dalam Negara Kasar pasaran pesat membangun akan meningkat kepada 3.9 peratus pada 2016 dan 4.3 peratus pada 2017, meningkat berbanding 3.6 peratus tahun lepas.

“Pelabur mencari pulangan dalam tempoh kadar faedah rendah.

“Pasaran pesat membangun merupakan antara pasaran jelas yang anda boleh dapat pertumbuhan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran United Global Quality Equity Fund, di sini hari ini.

Eng berkata pasaran pesat membangun juga akan memperoleh manfaat daripada Brexit, andai pelaburan beralih keluar dari Eropah.

“Kami melihat pengurus dana mengkaji semula peruntukan aset disebabkan Brexit. Jika wang beralih keluar dari Eropah, ia perlu mencari destinasi lain, dan pasaran pesat membangun akan meraih manfaat daripada aliran wang sebanyak itu,” katanya.

Eng berkata keputusan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengurangkan pengeluaran telah me-ningkatkan harga minyak sejak kebelakangan ini.

“Apa yang kita mahukan ialah untuk melihat keputusan susulan. Dan jika mereka melaksanakannya, tindakan itu sangat baik dan hasilnya juga bagus untuk Malaysia disebabkan kita merupakan antara beberapa negara pengeksport minyak,” katanya.

Eng berkata mata wang tempatan dijangkakan lemah kepada 4.15 berbanding dolar AS ekoran jangkaan kadar faedah AS yang meningkat.

“Kami melihat kedudukan itu hanya sementara seperti yang dilihat pada Disember 2015. Kedudukan dolar AS menyusut apabila Rizab Persekutuan US menaikkan kadar faedah,” katanya.

Rizab Persekutuan menaikkan kadar faedah sebanyak 0.25 mata peratus pada Disember 2015 – kenaikan pertama sejak 2006.

Sementara itu, UOB Asset Management menyasarkan saiz dana RM100 juta untuk United Global Quality Fund dalam tempoh 12 bulan akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Lim Suet Ling.

“Dana ini terbuka. Kami mencari syarikat yang mempunyai pertumbuhan hasil yang berprestasi tinggi dan menjana pendapatan besar dan berkekalan untuk pulangan yang kukuh,” katanya.

Dana itu menawarkan pulangan menarik kepada pelabur dalam tempoh lima hingga tujuh tahun pelaburan dalam syarikat utama dalam pasaran yang berkembang.

Hingga 31 Ogos 2016, UOB Asset Management memiliki aset dalam pengurusan bernilai RM6.33 bilion. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA