Pasaran saham China merosot 7%, permulaan 2016

Pasaran saham China merosot 7%, permulaan 2016

SHANGHAI, 4 Jan (Reuters) – Pasaran saham China merosot 7 peratus dalam sesi pembukaan 2016 mereka pada hari ini tatkala tinjauan aktiviti kilang yang lemah dan kejatuhan dalam mata wang yuan menambah kebimbangan mengenai ekonomi lembap, sekaligus memaksa bursa menggantung perniagaan untuk kali pertama.

Kerugian awal segera meningkat pada tengah hari, dengan perniagaan digantung pada kira-kira 0530 GMT, kira-kira 90 minit sebelum ditutup.

Penjualan meningkat selepas 15 minit perniagaan dihentikan pada awal tengah hari apabila indeks utama merosot 5 peratus, dan aktiviti di Shanghai dan Shenzhen dihentikan untuk hari itu sejurus kemudian.

Ia adalah hari pertama pasaran China bergelar ‘litar pintas,’ bertujuan mengawal keadaan turun naik, telah dikuatkuasakan.

Indeks cip biru CS1300 berakhir merosot 7 peratus pada 3,470.41 mata, sementara Indeks Komposit Shanghai kerugian 6.9 peratus kepada 3,296.66.

Seorang pelabur duduk di hadapan papan elektronik menunjukkan maklumat saham di sebuah rumah broker di Beijing – Reuters
Seorang pelabur duduk di hadapan papan elektronik menunjukkan maklumat saham di sebuah rumah broker di Beijing – Reuters

Indeks Hang Seng di Hong Kong mengecut 3 peratus.

Satu tinjauan persendirian pada awal hari menunjukkan aktiviti kilang China mengecut untuk bulan ke-10 berturut-turut pada Disember, dan pada kadar yang lebih pesat berbanding November.

Satu tinjauan rasmi pada Jumaat, yang menumpu pada firma milik negara yang lebih besar, menunjukkan pengecutan bulan kelima, walaupun satu pemulihan dalam sektor perkhidmatan mungkin melindungi kesan ke atas ekonomi yang lebih luas.

Pelabur juga membuang saham sebelum luput tempoh pengharaman jualan saham ke atas pemegang saham utama syarikat yang disenarai, yang telah dikenakan ketika krisis pasaran pada musim panas lalu.

‘Kemelesetan nampaknya mencetuskan penjualan sengit, sementara litar pintas yang tercetus nampaknya telah menimbulkan panik, tatkala kecairan lenyap secara tiba-tiba dan ia adalah sesuatu yang belum pernah dialami oleh seseorang,’ kata Gu Yongtao, ahli strategi di Cinda Securities. ‘Ia adalah satu rempuhan.’