Pasaran saham nasional pemangkin pertumbuhan

Pasaran saham nasional pemangkin pertumbuhan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dan Kementerian Kewangan sedang bekerjasama untuk menubuhkan pasaran saham nasional di mana ia merupakan langkah utama ke arah meningkatkan pembangunan pasaran modal negara.

Pelancaran pasaran saham itu dipercayai mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan perniagaan dengan membolehkan perusahaan atau perniagaan Brunei untuk meneroka laluan pembiayaan alternatif.

Di samping itu, ia juga akan memudahkan atau memberi laluan kepada integrasi serantau khususnya melalui pembangunan Pasaran Modal ASEAN dan inisiatif-inisiatif Forum Pasaran Modal Asia serta yang penting lagi, untuk memacu lebih banyak peluang pelaburan asing.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pendidikan selaku Timbalan Pengerusi AMBD, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dalam ucaptama semasa Acara Meja Bulat Tahunan Brunei Darussalam ke-12 yang berlangsung di Hotel Empire & Country Club, Jerudong, hari ini.

Beliau berkata bahawa perkhidmatan kewangan merupakan sebuah sektor penting dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di mana bagi Brunei Darussalam, visi jangka panjang negara adalah bagi sektor kewangan negara untuk menyumbang kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dari 5 peratus kepada 8 peratus pada 2035.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi (kiri) menerima cenderahati daripada Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif, Asia Asset Management Hong Kong, Tan Lee Hock.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi (kiri) menerima cenderahati daripada Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif, Asia Asset Management Hong Kong, Tan Lee Hock.

Yang Berhormat Pehin berkata, walaupun perbankan merupakan industri dominan dalam landskap sektor kewangan pada masa ini, tetapi kita sudah melihat meningkat pentingnya pasaran modal dengan negara menuju ke Wawasan 2035.

Ke arah itu, Brunei telah melaksanakan pelbagai langkah positif ke arah mengukuhkan lagi perkhidmatan dan struktur pasaran modal serta keteguhan dan hubungan kepada ekonomi global yang saling berhubungan.

Bagi pasaran modal Brunei, Perintah Pasaran Sekuriti 2013 dan Peraturan Pasaran Sekuriti 2015 telah berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Februari 2016 dan dengan penguatkuasaan itu, rangka kerja undang-undang yang ada menjadi asas bagi pembangunan pasaran modal abad ke-21.

Selain daripada itu, AMBD juga menjadi ahli penandatangan kepada Memorandum Persefahaman Pelbagai Hala International Organization of Securities Commmissions (IOSCO) yang memberikan AMBD peralatan bagi penguatkuasaan kawalan selia pasaran modal dan meningkatkan kerjasama serta pertukaran maklumat dengan ahli-ahli yang menangani memorandum berkenaan.

Yang Berhormat Pehin turut berkata, kewangan Islam terus berpotensi sebagai pemacu pertumbuhan di mana sifatnya yang berasaskan ekuiti dan berkongsi risiko menawarkan sebuah alternatif mikro dan makro ekonomi yang lebih kukuh kepada peminjaman bank tradisional khususnya dalam dunia bahaya moral yang dijanakan oleh penyebaran insurans simpanan moden dan leverage tinggi yang menolak saham bank komersial ke sudut portfolio pelaburan pelabur yang lebih berisiko.

Di Asia, ulas Yang Berhormat Pehin, lebih banyak negara telah berusaha untuk mengembangkan dan membangunkan pasaran modal Islam mereka menerusi penerbitan sukuk secara aktif.

Dengan jumlah negara yang memasuki pasaran itu bertambah, skop bagi pasaran modal Islam merentas sempadan juga bertambah di mana kita sudah mula melihat lebih banyak penerbitan sukuk merentas sempadan di Asia dan juga di antara Asia dan Timur Tengah.

Yang Berhormat Pehin juga berkata bahawa Brunei Darussalam akan menggunakan secara maksimum kelebihan dalam kewangan Islam dengan negara terus menegakkan kesucian nilai-nilai Islam dalam pelaksanaan kontrak kewangan Islam kita.

Ia adalah selaras dengan matlamat untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai pusat kewangan Islam serantau yang akan membolehkan pertumbuhan sektor kewangan negara di luar pasaran domestik.

Mengulas mengenai penerbitan Sukuk Al-Ijarah Kerajaan, Yang Berhormat Pehin mendedahkan bahawa sukuk kerajaan telah mencapai sebanyak 135 penerbitan dengan nilai keseluruhan $10.085 bilion sejak ia mula diterbitkan atau ditawarkan pada 6 April 2006.

Beliau juga berkata bahawa AMBD sedang melaksanakan depositori sekuritinya tersendiri yang akan memudahkan pengurusan penerbitan sukuk kerajaan dan membuka pasaran sekunder dalam sukuk untuk menangani permintaan dan keperluan pelabur.

Beliau berkata, inisiatif-inisiatif itu akan bertindak sebagai pemangkin dalam menerajui pertumbuhan pasaran modal domestik. Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dalam ucaptama itu juga berkata, walaupun pasaran modal Brunei masih lagi di peringkat permulaan tetapi ia masih mempunyai potensi untuk terus berkembang di mana pembangunan pasaran modal itu adalah penting bagi menyediakan alternatif kepada pinjaman bank serta menyokong pinjaman bank kepada sektor-sektor utama. Ia juga menyediakan peluang-peluang pelaburan bagi individu dan korporat yang akan menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Oleh itu, dalam strategi meluas kerajaan untuk mempelbagaikan ekonomi negara, pasaran modal boleh dilihat sebagai pemboleh bagi pertumbuhan iaitu sebagai sumber pembiayaan alternatif bagi menyokong inovasi dan pertumbuhan perniagaan atau perusahaan.

Bagi Brunei Darussalam, kata Yang Berhormat Pehin, kita terus membuat kemajuan tetapi tugas yang menanti terus mencabar dan AMBD akan terus melibatkan industri serta mencari jalan untuk membangunkan lagi pasaran modal negara tanpa menjejaskan kekukuhan sistem kewangan negara.

Dalam hubungan itu, AMBD telah menghasilkan Pelan Tindakan Sektor Kewangan 10 Tahun Brunei Darussalam, 2016-2025 yang telah memperuntukkan kewangan Islam sebagai industri utama untuk dimajukan dan diangkat.

Kejayaan pelan tindakan itu akan memerlukan sokongan dan penyelarasan berterusan di antara AMBD dan agensi-agensi relevan, institusi kewangan serta semua pihak yang berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA