Pasaran sekuriti SGX dibuka seperti biasa

Pasaran sekuriti SGX dibuka seperti biasa

SINGAPURA, 15 Julai – Singapore Exchange (SGX) berkata pasaran sekuritinya akan dibuka seperti biasa hari ini susulan gangguan pasaran semalam.

“Kami ingin memohon maaf atas gangguan pasaran. Masa pemulihan kami perlu lebih baik dan kami perlu meminimumkan masa henti bagi peserta pasaran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SGX Loh Boon Chye dalam kemas kini terbaharu di laman web SGX pada pukul 7:01 pagi.

“Saya ingin berterima kasih kepada anggota kami dan para peserta yang bekerjasama rapat dengan kami untuk menyelesaikan isu ini,” kata Loh.

Menjelaskan lebih lanjut, SGX berkata pada 9:38 pagi Khamis, isu teknologi menjejaskan proses pengesahan perdagangan SGX telah dikenal pasti, dan henti ganti daripada sistem pengesahan dagangan primer kepada sekunder telah dimulakan pada pukul 10:12 pagi.

Pengesahan dagangan disambung semula pada 10:14 pagi.

Bagaimanapun, mesej pengesahan perdagangan yang hilang dan bertindan telah dikenal pasti dan SGX meletakkan pasaran dalam ‘fasa penyelarasan’ pada pukul 11:38 pagi.

Fasa penyelarasan membolehkan tempahan dibuat, dikeluarkan atau dipinda tetapi tiada sebarang aktiviti padanan dilakukan.

Ini membolehkan anggota dan pelabur menyemak semula dan menguruskan tempahan mereka.

Pasaran berada dalam keadaan teratur sepanjang masa ia dibuka.

Cabaran dalam menyelaraskan mesej yang hilang dan bertindan mengambil masa yang lebih lama daripada yang dijangkakan.

SGX memutuskan untuk menutup pasaran sepanjang hari bagi memastikan pasaran yang adil, teratur dan telus, setelah mengambil kira maklum balas anggota. Para pelabur boleh menyemak status tempahan mereka dengan broker mereka.

SGX menasihatkan orang ramai untuk menyemak laman webnya bagi mendapatkan makluman terkini selanjutnya sekiranya ada. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA