Pasaran S’pura tanda aras IKS

Pasaran S’pura tanda aras IKS

SINGAPURA, 1 Mac (Bernama) – “Jika kita boleh menembusi pasaran Singapura, bermakna kita boleh memasuki mana-mana pasaran negara lain.”

Inilah penanda aras yang ditetapkan oleh Datuk Abdul Hadi Othman, bekas Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan yang mahu memasarkan produk mereka ke luar negara.

“Setiap negara mempunyai syarat tersendiri, termasuk juga Singapura. Namun, ia mempunyai standard yang agak tinggi untuk menerima produk-produk keluaran negara lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

“Oleh itu, jika kita mampu menembusi pasaran negara jiran selatan ini, bermakna produk IKS kita sudah cukup baik untuk menembusi pasaran negara lain,” katanya.

Abdul Hadi ditemui ketika mengetuai Misi Perdagangan Produk Makanan Halal ke Singapura selama dua hari bermula 24 Februari lepas.

Delegasi yang menyertai Misi Perdagangan Produk Makanan Halal di Singapura baru-baru ini, yang dianjurkan oleh DPIM dengan kerjasama MATRADE. – Bernama
Delegasi yang menyertai Misi Perdagangan Produk Makanan Halal di Singapura baru-baru ini, yang dianjurkan oleh DPIM dengan kerjasama MATRADE. – Bernama

Misi itu dianjurkan oleh Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Delegasi ini disertai 27 peserta dari 19 syarikat, koperasi dan agensi tempatan.

Hadir sama Exco Perdagangan Antarabangsa DPIM Kuala Lumpur Mohd Ridzuan Abdul Rahman dan Pengarah MATRADE bagi Wilayah Selatan Raphy Md Radzi.

Abdul Hadi juga berkata kerjasama lebih erat perlu diwujudkan bersama rakan niaga seperti Dewan Perniagaan dan Industri Singapura (SMCCI) bagi meneroka pasaran Halal di republik itu.

“Mereka menyatakan kesediaan bila-bila masa untuk membantu rakan niaga dari Malaysia. Kini terpulanglah kepada rakan niaga di Malaysia untuk mengorak langkah,” katanya.

Antara IKS yang menyertai misi ini ialah PedasHalalPark Distribution Sdn Bhd, Healviver Sdn Bhd, Faiza Marketing Sdn Bhd, RGM Sdn Bhd, Al Ansar Health Sdn Bhd, Bumimasa Sdn Bhd, Miami Grill Malaysia, dan Sri Talamaz.

Anggota delegasi ini ditemukan dengan pengusaha rantaian pasar raya terbesar di Singapura, Fair Price; Mustafa Wholesale Store; dan MyOutlets Global Halal Hub.

Selain SMCCI, delegasi itu juga mengadakan pertemuan dengan Majlis Ugama Islam Singapura, dan Pihak Berkuasa Veterinar dan Pertanian Singapura (AVA).

Singapura ialah rakan dagang kedua terbesar Malaysia, dan merupakan pintu masuk untuk barangan Malaysia dijual semula ke negara lain.