Pasha Ungu menang Pilkada Indonesia

Pasha Ungu menang Pilkada Indonesia

JAKARTA, 10 Dis – Pasha Ungu (bawah) adalah antara tiga artis dilaporkan menang berdasarkan keputusan tidak rasmi Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) Indonesia yang berlangsung semalam.

Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said adalah vokalis kumpulan Ungu yang turut popular di Malaysia dengan lagu “Andai Ku Tahu” dan “Kekasih Gelap Ku” itu, memperoleh 44.79 peratus undi sekali gus bakal menjadi Naib Walikota bagi Kota Palu di Sulawesi Tengah.

Media tempatan melaporkan keputusan tidak rasmi itu juga menunjukkan Pasha bersama pasangannya Hidayat mendahului tiga pasangan lain iaitu Habsa Yanti Panulele-Thamrin (19.87 peratus), Andi Mulhanan-Tahmidy Lasahido (18.92 peratus) dan Hadiyanto Rashid-Wiwik Jumatul Rofiah (18.73 peratus).

Pelakon Zumi Zola memenangi jawatan Gabenor Jambi dengan memperoleh 59.48 peratus undi. Pelakon kacak berusia 35 tahun itu bakal menjadi Gabenor Jambi bagi penggal 2016-2020 menggantikan bapanya, Zulkifli Ahmad yang menyandang jawatan itu selama dua penggal sebelum ini.

Bagaimanapun nasib tiga lagi artis, berbeza dan kalah dalam Pilkada yang pertama kalinya diadakan secara serentak di 264 daerah di seluruh republik itu.

p12-1_20151211

Mereka ialah penyanyi pop, Maya Rumantir yang gagal merebut jawatan Gabenor Sulawesi Utara, pelakon dan pengacara televisyen Helmy Yahya pula gagal merebut jawatan Bupati di Ogan Ilir di Sumatera Selatan.Pelawak Tubagus Dedi Suwandi Gumelar atau lebih dikenali dengan nama Miing Bagito turut gagal bagi jawatan Naib Bupati di Karawang.

Keputusan tidak rasmi itu adalah berdasarkan kiraan segera yang dilakukan oleh beberapa badan pengiraan bertauliah dan keputusan rasmi Pilkada hanya akan diumumkan pada Februari tahun depan.

Menurut Suruhanjaya Pemilihan Umum sebanyak 100,730,542 pemilih layak untuk mengundi dalam Pilkada 2015 bagi memilih 1,658 calon yang menawarkan diri bagi merebut jawatan Ketua Eksekutif daerah di seluruh Indonesia kecuali Daerah Khusus Ibukota Jakarta dan Wilayah Aceh.

Jawatan itu ialah Gabenor dan Naib Gabenor, Bupati dan Naib Bupati serta Walikota dan Naib Walikota. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA