PASOLS bekerjasama wujudkan keamanan

PASOLS bekerjasama wujudkan keamanan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Seminar Pegawai-pegawai Kanan Logistik Rantau Pasifik (PASOLS) ke-44 yang dihoskan oleh Negara Brunei Darussalam merupakan perhimpunan unik bagi pegawai kanan logistik angkatan tentera membincangkan isu-isu berbangkit dari pelbagai perspektif.

Walau terdapat percanggahan pendapat mengenai banyak isu sepanjang tiga hari seminar itu, ia merupakan sebahagian daripada proses, kerana asas mewujudkan kerjasama logistik adalah untuk memahami sejelas mungkin dan menghargai setiap perbezaan pendapat serta mencari rumusan untuk mewujudkan kerjasama logistik yang lebih bermakna pada masa depan.

Saranan itu diutarakan oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah ketika berucap pada Majlis Penutup Seminar PASOLS ke-44 yang berlangsung di Empire Hotel And Country Club, hari ini.

Beliau turut menyuarakan rasa gembira melihat kemajuan dan hasil perbincangan sepanjang seminar itu berlangsung yang sejajar dengan topik perbincangan semasa Persidangan Tahunan Ketua Pertahanan (CHOD) yang dihoskan oleh Negara Brunei Darussalam, yang antaranya termasuk mewujudkan kerjasama dalam aktiviti-aktiviti yang menyokong keamanan.

Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih semasa berucap pada majlis penutup seminar.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih semasa berucap pada majlis penutup seminar.
Gambar ramai para pegawai-Pegawai kanan Logistik Rantau Pasifik (PASOLS) ke-44 yang mengikuti seminar
Gambar ramai para pegawai-Pegawai kanan Logistik Rantau Pasifik (PASOLS) ke-44 yang mengikuti seminar

“Dalam mendukung matlamat CHOD, saya berasa gembira apabila difahamkan bahawa para pegawai kanan logistik rantau Pasifik telah pun memulakan inisiatif mereka sendiri untuk melaksanakan latihan-latihan yang memberikan fokus kepada operasi keamanan,” kata beliau.

Ujarnya lagi, rasa gembira itu juga tercetus setelah beliau melihat senarai negara yang menghantar perwakilan ke seminar PASOLS ke 44 adalah negara yang telah melibatkan diri dalam operasi pengaman.

Ini termasuk operasi di bawah payung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang menghulurkan pelbagai bentuk bantuan seperti keselamatan, pemulihan sosioekonomi dan perlindungan orang awam.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Yang Dimuliakan Pehin menyuarakan harapan untuk melihat semua pegawai kanan logistik dari negara-negara rantau Pasifik yang hadir menjalin hubungan persahabatan yang erat.

Majlis penutup itu juga menyaksikan persembahan pratonton oleh Kumpulan Perancang dan Negara-negara yang bakal menjadi hos PASOLS seterusnya, yang akan diadakan di Republik Filipina dan seterusnya di Republik Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA