Pasport pegawai Olimpik Ireland dirampas

Pasport pegawai Olimpik Ireland dirampas

RIO DE JANEIRO, 22 Ogos – Polis Brazil merampas pasport tiga pegawai Olimpik Ireland yang didakwa terbabit dalam rangkaian jualan tiket pasar gelap di sini.

Pegawai Ireland berkata, polis turut merampas telefon dan komputer dalam serbuan pada awal pagi waktu tempatan di pejabat kontinjen negara itu di Perkampungan Olimpik.

Ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Ireland, Patrick Hickey sudah ditahan untuk disoal siasat dan ditempatkan di penjara Bangu dengan kawalan sementara menunggu perbicaraan mahkamah.

Polis Rio dalam kenyataan berkata, ejen merampas pasport Kevin Kilty, Dermot Henihen dan Stephen Martin pada Ahad.

“Ketika operasi itu, polis merampas pasport tiga lelaki Ireland dan menghalang mereka daripada meninggalkan negara ini. Berdasarkan bukti yang dikumpul setakat ini, Kevin, Dermot dan Stephen juga terbabit dalam jualan tiket secara haram,” kata polis.

Sehubungan itu, kenyataan Majlis Olimpik Ireland berkata, polis Rio juga mengambil tiket yang belum digunakan oleh pegawai Ireland. Tiket itu difahamkan adalah untuk ‘keluarga atlet dan kawan.’

“Pegawai OCI diminta hadir untuk soal siasat di balai polis pada Selasa,” kata kenyataan itu. Pegawai itu ‘bersetuju’ untuk berbuat demikian.

Polis Rio berkata, mereka “menjalankan siasatan sejak pagi Ahad dan diteruskan sehingga Selasa.’

Terdahulu, Presiden IOC, Thomas Bach berkata, Hickey akan hadir di hadapan hakim mahkamah Brazil pada Selasa. – AFP