Pasport rakyat Malaysia sertai Daesh dibatalkan

Pasport rakyat Malaysia sertai Daesh dibatalkan

KUALA SELANGOR, 7 Ogos – Kerajaan telah membatalkan 68 pasport rakyat Malaysia yang menyertai kegiatan Daesh di negara-negara terlibat dengan militan itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (bawah).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pembatalan itu berkuat kuasa dua minggu lalu selepas mendapat arahan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Daripada maklumat perisikan, pasport rakyat Malaysia yang terlibat (dengan Daesh) telah diarah untuk dibatalkan, jadi mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan lagi sebagai warganegara Malaysia.

“Jika mereka pulang ke negara ini, tindakan perundangan akan diambil terhadap mereka mengikut Akta Imigresen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor, di sini, hari ini.

p02-1_20160808

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan; Anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Ishak Haron.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata terdapat dua keluarga iaitu di Shah Alam dan Ipoh, Perak, bertindak menjual rumah, restoran dan kereta masing-masing untuk menyertai perjuangan militan Daesh di Syria.

“Berdasarkan risikan, kedua-dua keluarga ini meninggalkan segalanya dan membawa anak-anak kecil ke Syria kononnya ingin berjihad untuk mencari jalan singkat ke Syurga.

“Berdasarkan laporan yang saya terima, mereka yang kononnya ingin berjuang dengan Daesh di Iraq dan Syria berakhir dengan jadi pencuci tandas atau penyapu sampah di jalanan sahaja …ternyata semuanya indah khabar dari rupa.

“Saya dapat tahu mereka menyesal dan nak balik ke Malaysia tetapi kerajaan telah mengeluarkan arahan untuk batalkan pasport mereka serta merta. Kita tidak mahu berkompromi de-ngan mereka yang mengkhianati negara dan kita tidak iktiraf mereka sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menjejaki lapan butir bom tangan yang dipercayai masih berada di tangan militan Daesh di negara ini. – Bernama