Pastikan ekonomi S’wak berdaya tahan

Pastikan ekonomi S’wak berdaya tahan

KUCHING, 4 Mac (Bernama) – Sarawak memberi penekanan kepada pembangunan keusahawanan sebagai antara usaha utama dalam memastikan ekonominya kekal kukuh dan berdaya tahan, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohammad Morshidi Abdul Ghani.

Justeru itu, beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan pembangunan perniagaan baharu dan memupuk sikap keusahawanan, dalam semua bidang ekonomi, serta meningkatkan kualiti dan kuantiti.

Sejak sekian lama pertanian menjadi tulang belakang kepada ekonomi Sarawak, diikuti industri perkayuan serta minyak dan gas, katanya, dan menambah, negeri itu kini bergerak kepada industri yang pelbagai.

“Memandangkan Sarawak dilimpahkan dengan pelbagai sumber semula jadi, keusahawanan merupakan kunci utama kepada ekonomi negeri.

“Hala tuju kita ke arah ekonomi global adalah melabur dalam modal insan, terutama dalam pembangunan keusahawanan,” katanya semasa pelancaran awal program Gabungan Rakan Usahawan Aspirasi Terhebat (GREAT) 2016 di sini hari ini.

Mohammad Morshidi berkata Sarawak juga mempunyai jabatan bertanggungjawab kepada keusahawanan serta sebuah kementerian bagi menyelia perkembangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana.

Beliau berkata usahawan Sarawak perlu meneroka pasaran luar dari negeri itu bagi memperluaskan rangkaian mereka di samping meningkatkan nilai bersih peribadi dan kemakmuran sosial, serta membuka peluang pekerjaan tempatan.

“Terdapat peluang yang amat besar yang boleh dicapai, dengan syarat kita bersedia untuk meluaskan lingkungan kita,” katanya.

Mohammad Morshidi berkata bahawa pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 1,089 kilometer akan mengembangkan lagi peluang perniagaan baharu, kegiatan ekonomi dan kesalinghubungan serta akses yang lebih luas kepada semua kawasan.

Mengenai GREAT 2016, beliau berkata kerajaan Sarawak memberi sokongan penuh memandangkan program itu akan membolehkan usahawan Sarawak meneroka peluang baharu, mempunyai pengetahuan mendalam berkenaan pembiayaan dan mengupayakan diri masing-masing.