Pastikan pematuhan perintah

Pastikan pematuhan perintah

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Feb – Bagi memastikan semua kerja-kerja bangunan dan tanah mematuhi piawaian keselamatan, keselesaan, dan perkara-perkara dasar awam, Kementerian Pembangunan melalui Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) telah mengadakan sesi taklimat mengenai Perintah Kawalan Bangunan, 2014 dan Peraturan-peraturan di bawahnya di Dewan Indera Pahlawan, Kementerian Pembangunan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

Turut hadir ialah wakil-wakil dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam proses permohonan kemajuan, arkitek dan jurutera profesional, pelukis pelan dan para kontraktor yang berdaftar di Kementerian Pembangunan.

Taklimat Perintah Kawalan Bangunan, 2014 yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Kawalan Pembangunan (ABCi) Hajah Sarbiah binti Haji Burut selaku Timbalan Pengerusi 1, bertujuan untuk memberigakan kepada pihak-pihak berkenaan mengenai kandungan perintah dan peraturan secara am serta tanggungjawab pemaju, orang berkelayakan dan pembina.

Antara yang hadir pada majlis itu, kelmarin.
Antara yang hadir pada majlis itu, kelmarin.
Hajah Sarbiah ketika menyampaikan Taklimat Perintah Kawalan Bangunan, 2014.
Hajah Sarbiah ketika menyampaikan Taklimat Perintah Kawalan Bangunan, 2014.

Selain itu juga, ia juga menyentuh mengenai peringkat-peringkat utama dalam proses kemajuan yang dikawal di bawah perintah ini iaitu mendapatkan kebenaran pelan, kebenaran memulakan kerja dan kebenaran mendiami serta perintah dalam konteks petunjuk berurusan dengan kebenaran pembinaan dalam laporan Doing Business 2016 oleh Bank Dunia. Perintah yang telah berkuat kuasa mulai 1 November 2015 itu dilaksanakan untuk menjamin keselamatan dan kesihatan orang ramai melalui kawalan kemajuan pembangunan.

Manakala itu, ABCi merupakan autoriti yang bertanggungjawab untuk pentadbiran perintah berkenaan dengan peruntukan di dalamnya amat penting dalam proses mendapatkan kebenaran-kebenaran kemajuan.

Pada masa ini, kebenaran pembinaan telah dipermudahkan kepada lima peringkat sahaja iaitu mendapatkan kebenaran perancangan dari Jabatan Perancang Bandar dan Desa; mendapatkan kebenaran kemajuan dari ABCi; mendapatkan kebenaran memulakan kemajuan dari ABCi; mendapatkan kebenaran mendiami dari ABCi; dan mendapatkan penyambungan air dari Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya.

Perintah berkenaan juga memperuntukkan keperluan-keperluan tertentu bagi Kebenaran Kemajuan, Kebenaran Memulakan Kemajuan dan Kebenaran Mendiami daripada ABCi.

ARTIKEL YANG SAMA