Pastikan semua menara komunikasi baharu berfungsi

Pastikan semua menara komunikasi baharu berfungsi

KUCHING, 11 Mac (Bernama) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan memastikan semua menara telekomunikasinya di negeri ini berfungsi menjelang akhir bulan ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ketika ini, 85 peratus daripada kesemua menara itu sudah berfungsi.

“Kami harap, menjelang akhir Mac ini, orang ramai boleh menggunakan kesemuanya,” kata beliau kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem di pejabatnya di sini hari ini.

Pada perjumpaan itu, Salleh juga menyerahkan kepada Adenan cek derma RM300,000 daripada SKMM kepada tabung bantuan banjir negeri.

Turut hadir, Menteri Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh.

Tan Sri Adenan Satem menerima replika cek bernilai RM300,000 untuk Tabung Bencana Banjir Sarawak Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia kelmarin. - Bernama
Tan Sri Adenan Satem menerima replika cek bernilai RM300,000 untuk Tabung Bencana Banjir Sarawak Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia kelmarin. – Bernama

Salleh berkata kerajaan juga memberi peruntukan baharu bagi membolehkan menara berkenaan berfungsi dengan cepat.

“Terdapat sungutan meluas daripada orang ramai tentang apa yang disebut sebagai ‘menara bogel’ ini. Ia ada, tapi tidak ada ketersambungan,” katanya.

Beliau berkata terdapat juga rancangan untuk menambah jumlah menara komunikasi di Sarawak yang menggunakan teknologi baharu sedia ada.

Setakat November tahun lepas, terdapat 203 menara telekomunikasi di Sarawak dan 85 lagi dirancang dibina tahun ini.

Terdahulu, ketika meninjau persiapan bagi pelancaran program MINDA di sini esok, Salleh memberitahu pemberita bahawa Malaysia tidak boleh menjauhkan dirinya daripada dunia digital jika ia ingin terus maju.