Pastikan sistem pengangkutan awam mapan

Pastikan sistem pengangkutan awam mapan

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Negara Brunei Darussalam sentiasa mencari langkah-langkah terbaik dalam memastikan sistem pengangkutan awam darat yang efisien dan mapan.

Ini dipercayai dan terbukti mampu untuk memudah cara pergerakan orang ramai dan sebagai salah satu wadah yang penting dalam membantu orang ramai mencari rezeki, membantu mengurangkan perbelanjaan seharian, membantu mempertingkatkan produktiviti individu dan barang setentunya menjana kepada produktiviti dan pembangunan negara.

Dalam hal ini, keberkesanan sistem pengangkutan awam darat yang dikawal selia dan efisien ini merupakan satu kemestian dalam memastikan pergerakan manusia berjalan dengan lancar, selesa dan selamat.

Perkara tersebut telah dibincangkan oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat, Dr Haji Supry bin Haji Ladi yang juga merangkap Pengerusi Lembaga Melesen Pengangkutan Bermotor (MTLA) dalam kertas kerjanya bertajuk ‘Sistem Pengangkutan Awam yang Terkawal Selia dan Efisien menjana Pembangunan Negara’ bersempena Majlis Ilmu 2016 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Berakas, petang tadi.

Dr Haji Supry semasa membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk ‘Sistem Pengangkutan Awam yang Terkawal Selia dan Efisien menjana Pembangunan Negara’.
Dr Haji Supry semasa membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk ‘Sistem Pengangkutan Awam yang Terkawal Selia dan Efisien menjana Pembangunan Negara’.

Fokus kertas kerja yang dibentangkan tadi menyingkap sedikit sejarah sistem pengangkutan bas awam dan teksi di Negara Brunei Darussalam, isu-isu dan cabaran yang telah dan masih dihadapi seperti keberkesanan perkhidmatan bas dan teksi, pemilikan kereta persendirian yang tinggi, penyediaan rangkaian sistem pengangkutan awam yang memerlukan pelaburan dan perbelanjaan kewangan yang amat tinggi dan sebagainya.

Dr Haji Supry dalam pembentangannya, turut berkongsi dasar-dasar dan strategi terkini yang telah digubal dalam usaha menangani isu-isu ini melalui pendekatan campur tangan kerajaan ke arah sistem pengangkutan yang terkawal selia, efisien, rangkaian laluan yang bersaling hubung dan boleh dipercayai.​

Sistem pengangkutan awam merupakan sistem yang merangkumi pemberian perkhidmatan pengendalian pengangkutan untuk orang ramai bergerak dari destinasi ke destinasi yang lain termasuk memberi perkhidmatan pengangkutan barangan.

Sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang disediakan meliputi rangkaian perjalanan dan perhubungan melalui darat, udara dan laut.

ARTIKEL YANG SAMA