Pastikan syiar Islam terus terpelihara

Pastikan syiar Islam terus terpelihara

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Usaha bersepadu dan terarah di gugusan alam Nusantara adalah amat relevan dan sudah sampai masanya untuk menyediakan sebuah pelan strategik dan pelaksanaannya bagi memastikan tamadun dan syiar Islam terus dipelihara dengan melestarikan peranan dakwah.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan juga Pro Canselor UNISSA bersabda, perkara ini adalah penting bagi menyatupadukan masyarakat setempat dan serantau yang sentiasa dibelenggu oleh berbagai masalah dan gejala sosial yang sebahagian besarnya berpunca daripada sikap manusia yang secara sedar atau sebaliknya, melanggar perintah dan larangan Allah yang terang lagi jelas.

“Di sinilah peranan penting dakwah ke arah memantapkan semula penyebaran ilmu tauhid yang juga menjurus kepada mewujudkan semula sistem kepercayaan ke arah kesejagatan tamadun Islam serta maqasid syariah,” sabda Duli Yang Teramat Mulia semasa merasmikan Konferensi Antarabangsa Islam Borneo VIII (KAIB VIII) yang berlangsung di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) hari ini.

Kira-kira 130 kertas kerja termasuk satu kertas kerja perdana dan enam kertas utama dibentangkan oleh tokoh-tokoh agama dan ilmuan dari Kepulauan Borneo dan serantau pada persidangan yang bertemakan Melestari Dakwah Dan Tamadun Islam di Borneo itu.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya bersabda, institusi pengajian tinggi sudah setentunya turut memainkan peranan penting khususnya dalam mengenal pasti isu yang perlu ditangani bersama dan ini termasuk dalam menghadapi serta mengharungi ketidaktentuan situasi sosial dan ekonomi era global semasa.

Keberangkatan DYTM Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ke Majlis Perasmian Pembukaan Konferensi Antarabangsa Islam Borneo VIII (KAIB VIII).
Keberangkatan DYTM Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ke Majlis Perasmian Pembukaan Konferensi Antarabangsa Islam Borneo VIII (KAIB VIII).

pg01_150903_a

Syiar Islam, tambah Duli Yang Teramat Mulia, telah membawa perubahan kepada corak pentadbiran serta identiti negara kepada sebuah negara Islam yang bertamadun dengan calak sosiobudaya tersendiri.

“Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, Paduka Nenda Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien secara rasminya meletakkan akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan Mazhab Shafi’i dalam Perlembagaan Brunei 1959 sebagai manifestasi keutuhan tamadun dan syiar Islam.

“Usaha melestarikan dakwah dan tamadun Islam tersebut terus dipelopori serta diperkembangkan secara berterusan dalam sistem pemerintahan Paduka Ayahanda dan kesinambungan syiar kegemilangan Islam telah dimanifestasikan menerusi gagasan ‘Negara Zikir’ yang berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunah,” sabdanya.

Menurut Duli Yang Teramat Mulia lagi, gagasan ini yang dijalin dan diterapkan oleh Konsep Melayu Islam Beraja adalah saling lengkap-melengkapi dan berperanan memantapkan pembangunan kerohanian seiring dengan kepentingan pembangunan intelektual, sosial dan ekonomi.

“Calak pembangunan yang inklusif serta holistik ini adalah satu platform yang paling pragmatik dan efektif kepada pembangunan masyarakat khususnya generasi penerus ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.”

Di samping itu, penerapan nilai murni Islam adalah juga teras dan berkemahiran tinggi dengan memiliki kualiti hidup yang tinggi dan sekitaran pembangunan ekonomi yang dinamik lagi berdaya tahan.

Menurut Duli Yang Teramat Mulia, perkara ini adalah sinonim dengan ajaran Islam yang menganjurkan pembangunan umat yang cemerlang dan dinamik yang mana ini dapat dicapai menerusi penguasaan ilmu duniawi bagi kemajuan serta kesejahteraan manusia sejagat di samping mempersiapkan ilmu ukhrawi sebagai bekalan kegemilangan kehidupan di alam akhirat.

“Di sinilah letaknya keindahan tamadun Islam di mana ia mempunyai upaya yang tinggi dalam memelihara dan menjaga kesinambungan kualiti kehidupan umat manusia yang didokong oleh sistem perdagangan dan ekonomi yang adil lagi saksama,” sabdanya.

Duli Yang Teramat Mulia dalam sabdanya menaruh kepercayaan, Konferensi KAIB ke-8 ini dapat mengupas serta mencetuskan pemikiran bernas yang boleh di bawa ke hadapan khasnya bagi menyebarluaskan dan mengukuhkan tamadun Islam di rantau ini.

Seperti yang diketahui, Kepulauan Borneo merupakan sebahagian alam Nusantara yang memiliki banyak persamaan budaya serta masyarakat Islam yang berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

“Kekuatan serumpun ini adalah diharapkan sebagai pemangkin kepada jalinan usaha sama antara ahli akademik yang berlainan latar belakang dan kepakaran ilmu untuk seterusnya mencari ruang serta menerokai peluang bagi menyatupadukan masyarakat dan ummah,” sabdanya lagi.

Perkara ini selaras dengan cabaran bagi menjayakan Komuniti ASEAN menjelang penghujung tahun ini yang merupakan satu perjalanan yang akan memberikan dimensi baru kepada sumbangan tamadun Islam kepada matlamat sosioekonomi serantau.

Dalam masa yang sama, kolaborasi antara institusi pengajian tinggi Kepulauan Borneo juga perlu dimanfaatkan menerusi pelbagai bentuk aktiviti ilmiah ke arah mengemas kini dan memantapkan kurikulum, penganjuran bengkel dan forum mengenai isu dan cabaran serantau serta penerbitan dan penyelidikan merentasi disiplin masing-masing.

Duli Pengiran Muda Mahkota seterusnya berharap, supaya dapatan serta resolusi konferensi ini dapat mencapai dan merealisasikan objektif penganjuran sekali gus dapat membuka minda serta melihat lebih jauh ke hadapan kebersamaan dan impak cabaran era globalisasi dan peranan media sosial khususnya dalam mengembangkan dakwah dan syiar Islamiah.

ARTIKEL YANG SAMA