Pastikan tiada gangguan operasi MLNF Dua

Pastikan tiada gangguan operasi MLNF Dua

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) komited untuk memastikan tidak berlaku gangguan kepada bekalan dan permintaan gas serta mencapai kestabilan dalam operasi MLNG Dua, kata Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Datuk Mohd Anuar Taib.

Ini berikutan penyerahan 50 peratus ekuiti dimiliki Sarawak Shell Bhd (Shell) kepada Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) yang diadakan di Pejabat Operasi PCSB Sarawak di Miri, hari ini.

Sebelum ini Shell mengendalikan MLNG Dua melalui kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) yang ditandatangani dengan Petronas pada 1993. Dengan penyerahan ini, PCSB dan anak syarikatnya, E&P Malaysian Ventures Sdn Bhd (EPMV), kini masing-masing memiliki 90 peratus dan 10 peratus ekuiti sebagai pengendali PSC.

PSC sebelum ini tamat tempoh pada 20 Ogos 2015.

Majlis itu yang diadakan pada 12.01 pagi hari ini menyaksikan Ketua Aset Sarawak, Sarawak Shell Bhd, Chok Chee Tsong, secara rasmi menyerahkan dokumen sebagai simbol ekuiti Shell kepada Naib Presiden Pengeluaran Malaysia, Huluan Malaysia Petronas, Johari Dasri.

Petronas melihat penyerahan MLNG Dua kepada PCSB sebagai tambahan positif kepada usaha berterusan syarikat untuk meletakkan Sarawak sebagai hab gas di rantau ini.

“Petronas akan terus menyokong semua inisiatif jangka panjang untuk kebaikan negeri dan masyarakatnya,” kata Mohd Anuar dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai masa depan pekerja dan vendor dipindah daripada pengendali sebelum ini, Mohd Anuar berkata, Petronas tegas untuk mengekalkan kakitangan dan vendor semasa serta kedudukan asal mereka.

Petronas telah menawarkan peluang pekerjaan kepada semua 39 pekerja yang dilepaskan Shell, di mana semua kecuali dua kakitangan telah menerima tawaran berkenaan, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA