Pastor kena penjara seumur hidup

Pastor kena penjara seumur hidup

BEIJING, 16 Dis (AFP) – Korea Utara telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang pastor warga Kanada ekoran penangkapannya awal tahun ini atas tuduhan subversif, lapor agensi berita rasmi China, Xinhua hari ini.

Hyeon Soo Lim, kelahiran Korea Selatan, iaitu pastor di Gereja Light Korean Presbyterian di Toronto, dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Tinggi selepas perbicaraan singkat, lapor Xinhua dari Pyongyang.

Mahkamah mendapati Lim bersalah menyertai Amerika Syarikat dan Korea Selatan dalam membangkitkan ‘kegiatan haram’ hak asasi kemanusiaan anti Korea Utara dan mengada-adakan dan mengedarkan propaganda yang mencemarkan imej Korea Utara.

Dia juga dituduh membiayai dan membantah mereka yang berpaling tadah yang ingin lari meninggalkan Korea Utara.

Menurut Mahkamah Tinggi, Lim mengaku semua tuduhan itu dan menunjukkan ‘rasa kesal’, lapor Xinhua lagi.

Pastor Hyeon Soo Lim. – Agensi
Pastor Hyeon Soo Lim. – Agensi

Lim ditahan oleh pihak berkuasa Korea Utara pada Januari selepas tiba dari China.

Menurut gerejanya di Toronto, dia dalam misi kemanusiaan dan telah mengunjungi Korea Utara beberapa kali untuk membantu kerja rumah anak yatim dan rumah penjagaan.

Pada Ogos, Korea Utara telah mengeluarkan video yang memperlihatkan Lim menghadiri satu upacara hari Ahad di Gereja Pongsu, Pyongyang dan mengakui pelbagai dakwaan berucap kepada jemaah kecil yang termasuklah sebilangan warga asing.

“Saya telah melakukan jenayah paling besar menghina dan memfitnah martabat tinggi dan kepimpinan republik,” Lim berkata dalam video itu.

Warga-warga asing yang ditahan oleh pihak berkuasa Korea Utara lazimnya dikehendaki membuat pengumuman terbuka dengan skrip rasmi tentang kesalahan mereka untuk membantu mendapatkan pembebasan akhirnya.

Pyongyang menganggap mubaligh asing dengan penuh kecurigaan, meskipun ia membenarkan sebilangan mereka untuk menjalankan kerja kemanusiaan.

ARTIKEL YANG SAMA