Pasu Bunga Kayu Kiub

Pasu Bunga Kayu Kiub

Oleh Amri HTZ

 

BUNGA merupakan perhiasan yang menjadi kemestian bagi setiap individu untuk mengindahkan atau mencantikkan lagi ruang bilik dan sebagainya.

Pelbagai bekas yang terjual di pasar raya yang menjadi pilihan para peminat bunga yang terdiri daripada bekas besi, seramik, plastik dan sebagainya. Sesetengah individu memilih alternatif yang berlainan untuk dijadikan bekas penanaman atau menyimpan bunga sebagai satu kelainan daripada kebiasaannya.

Mereka bentuk bekas atau pasu yang dibuat daripada kayu merupakan satu idea yang mempunyai pelbagai manfaat kepada diri anda. Selain dapat menjimatkan perbelanjaan menggunakan kayu buangan atau barang yang diguna semula, ia juga memberikan kelainan pada penampilan bunga anda selain menjadikannya unik apabila diletakkan di suatu tempat yang dapat menarik perhatian orang yang melihatnya dan menyerlahkan lagi kecantikan bunga yang ditampilkan.

Barang Keperluan

Dalam proses pembuatan pasu kayu ini, barang-barang yang diperlukan untuk membuatnya adalah mesin drill (gerudi), berus cat, cat kayu, skru atau paku, pensel, pita pengukur, tisu, kertas pasir atau mesin sanding, gergaji tangan atau mesin gergaji dan kayu berbentuk papan 1’’x 6’’ dan panjang lebih kurang enam kaki.

Barang-barang keperluan untuk membuat pasu kayu kiub.
Barang-barang keperluan untuk membuat pasu kayu kiub.

MPDIY LOGO

Pasu bunga kayu kiub yang telah siap dan dihias menggunakan bunga hidup atau plastik.
Pasu bunga kayu kiub yang telah siap dan dihias menggunakan bunga hidup atau plastik.

Langkah Pembuatan

Setelah menyediakan semua alat keperluan untuk memulakan proses pembuatan, anda boleh memulakan dengan proses pertama pembuatan iaitu memotong kayu yang telah tersedia mengikut saiz yang bersesuaian dengan keinginan setiap individu. Bagi projek ini, pasu yang akan dicipta adalah bersaiz 6’’ besar berbentuk persegi. Memandangkan kayu jenis papan yang telah disediakan berukuran 6’’ lebar, anda bolehlah memotong terus papan tersebut setiap 6’’ panjang sebanyak empat keping.

Sebelum proses pemotongan bermula, perlu diingat papan yang dipotong untuk membentuk rangka pasu perlulah di tanda menggunakan pengukur jenis protraktor untuk membentuk potongan yang mempunyai sudut 45 darjah jika anda menggunakan gergaji tangan. Untuk memudahkan proses pemotongan, kayu yang hendak dipotong perlulah diberikan tekanan menggunakan alat penahan seperti ragum (vise).

Manakala bagi anda yang mempunyai mesin gergaji automatik, untuk memotong kayu yang mempunyai sudut 45 darjah, perkara ini amat mudah untuk dilakukan. Anda hanya perlu meletakkan posisi mata gergaji anda kepada ukuran 45 darjah yang terdapat pada mesin. Walaupun proses ini agak mudah, ruang untuk kesilapan amat tinggi yang boleh membawa bahaya atau pembaziran kayu jika tersalah potong atau ukuran berbanding memotong secara manual.

Proses memotong kayu yang mempunyai sudut 45 darjah.
Proses memotong kayu yang mempunyai sudut 45 darjah.
Proses menggerudi lubang skru pada proses percantuman.
Proses menggerudi lubang skru pada proses percantuman.

Setelah selesai memotong dan menyediakan empat keping kayu yang berukuran 6’’x6”, rangka pasu ini bolehlah melalui proses percantuman. Anda mempunyai dua pilihan untuk mencantumkan rangka pasu ini sama ada menggunakan paku atau skru ataupun gam kayu. Jika anda memilih untuk mencantumkan menggunakan paku, anda memerlukan tukul untuk menukul paku. Manakala jika menggunakan skru, anda perlu membuat lubang awal untuk skru menggunakan mata gerudi bersaiz lebih kurang 1-2 milimeter. Teknik ini digunakan sebagai langkah untuk menggelakkan daripada kayu yang digunakan pecah atau merekah. Setelah itu skru yang disediakan bolehlah dimasukkan dua biji setiap sudut percantuman.

Manakala bagi seorang tukang kayu profesional yang memilih untuk mencantumkan kayu menggunakan teknik berlainan seperti menggunakan gam kayu, penggunaan pengapit (clamp) kayu memainkan peranan penting di sini. Pengapit sudut khas yang berbentuk 90 darjah diperlukan dan rangka pasu perlu diberikan tekanan selama lebih kurang 12 jam sebelum beralih ke proses seterusnya iaitu melekatkan bahagian bawah pasu.

Pada proses seterusnya, setelah anda berjaya mencantumkan rangka asas pasu, anda perlu mengukur setiap sudut dalaman pasu untuk memotong kayu yang akan dijadikan alas atau bahagian bawah pasu. Proses membuat ukuran bahagian bawah ini dibuat pada langkah terakhir percantuman kerana ditakuti setelah rangka pasu yang anda telah siap cantumkan, berubah ukuran dan menjadikan kerja pemotongan bertambah atau pembaziran penggunaan kayu berlaku. Pada ukuran pasu kayu ini, ukuran 4.5’’x 4.5’’ akan digunakan untuk kayu bahagian bawah pasu.

Mengukur bahagian dalam rangka pasu untuk mengetahui ukuran bahagian bawah pasu.
Mengukur bahagian dalam rangka pasu untuk mengetahui ukuran bahagian bawah pasu.
Proses pemotongan kayu bahagian bawah pasu.
Proses pemotongan kayu bahagian bawah pasu.
Lebihan varnis perlu disapu menggunakan tisu bersih.
Lebihan varnis perlu disapu menggunakan tisu bersih.

Pada proses percantuman bahagian bawah pasu, sekali lagi mata gerudi memainkan peranan di sini. Kayu bahagian bawah pasu perlu dicantumkan dengan memasukkan bahagian dalaman pasu dan kemudian perlu digerudi sebagai lubang dan penanda tempat sebelum skru dimasukkan.

Pada langkah terakhir sebelum proses mengecat pasu tersebut, mesin perata (sanding) untuk kayu digunakan untuk menghalusi permukaan kayu dan membulatkan sudut permukaan kayu yang tidak rata atau tajam disebabkan pemotongan dan percantuman sudut cantuman yang tidak tepat selain berfungsi untuk menimbulkan corak yang terdapat pada sesetengah kayu. Kertas pasir yang digunakan jika menggunakan mesin perata perlulah berukuran 80 grit pada awal proses diikuti dengan 400 grit pada proses menghaluskan permukaan.

Manakala jika anda menggunakan tangan, kertas pasir berukuran 650 grit perlu digunakan pada proses awal dan kemudian diikuti 1000-1300 grit pada proses akhir menghaluskan permukaan kayu.

Langkah terakhir proses pembuatan pasu kayu ini ialah mengecat hasil ciptaan anda. Perlu diingat sebelum memulakan proses mengecat, anda perlu membersihkan serpihan habuk kayu yang tercipta ketika proses melicinkan permukaan kayu kerana ia boleh menjejaskan kualiti produk anda. Cat yang digunakan untuk projek ini ialah varnis yang mempunyai bahan asas air sebagai pilihan kerana ia mudah untuk digunakan. Mulakan dengan permukaan dalam pasu dan kemudian pada bahagian luar. Sapu lebihan cat menggunakan tisu yang disediakan dan perlu diingat untuk menghasilkan corak cat yang cantik, ketika proses mengecat atau menyapu lebihan cat, anda perlu mengikut aliran corak kayu dan tidak bertentangan aliran corak kayu.

Setelah membiarkan cat untuk mengering, pasu kayu yang telah dicipta bolehlah digunakan untuk menanam bunga sama ada menggunakan tanah atau air. Selamat mencuba!