Pasukan 7Strike naib juara kejohanan di negara jiran

Pasukan 7Strike naib juara kejohanan di negara jiran

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 9 Okt – Pasukan 7Strike dari Daerah Belait tampil sebagai naib juara dalam Kejohanan Bola Jaring Terbuka Semarak Hari Malaysia Peringkat Perlimen Miri 2016 yang diadakan selama dua hari yang berlangsung di Rekreasi Perlimen Lutong, Miri, baru-baru ini.

Ketua Pasukan tersebut, Dayang Nafisah binti Haji Kamel Jumat memberitahu Media Permata, hari ini, bahawa pasukan mereka merasa amat bertuah dapat merangkul tempat kedua walaupun mendapat saingan hebat dari lebih 10 pasukan semasa kejohanan tersebut.

Sementara itu, juara pula dimenangi oleh Pasukan F10NT dari Bintulu dan Pasukan Gingers dari Miri muncul sebagai tempat ketiga. Kejohanan yang pertama kali diadakan secara penyertaan terbuka itu telah berlangsung pada 1 hingga 2 Oktober lalu.

Kejohanan tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Bandaraya Miri, Ketua PBB Piasau, Kaunselor Sadon bin Zainal, manakala majlis penutup dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang ialah Ahli Majlis Bandaraya Miri, Exco Belia SEBERKAS Sarawak, Warziedia binti Ahmad.

Pasukan 7Strike di ketuai oleh Dayang Nafisah berjaya muncul naib juara dalam Kejohanan Bola Jaring Terbuka Semarak Hari Malaysia Peringkat Perlimen P.219 Miri 2016.
Pasukan 7Strike di ketuai oleh Dayang Nafisah berjaya muncul naib juara dalam Kejohanan Bola Jaring Terbuka Semarak Hari Malaysia Peringkat Perlimen P.219 Miri 2016.

Menurut Dayang Nafisah, mereka telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai sejumlah RM500 beserta pingat, manakala juara pula telah menerima hadiah sejumlah RM700 beserta pingat dan di tempat ketiga menerima RM300 juga beserta pingat.

Menyentuh tentang persiapan, Dayang Nafisah selaku ketua pasukan menyatakan, mereka sering mengadakan latihan setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat di Kompleks Sukan Mumong selain menyertai perlawanan persahabatan dengan pasukan daripada Telisai, Tutong dan daerah lainnya.