Pasukan Belait juara Taekwondo

Pasukan Belait juara Taekwondo

Oleh Ak Kamal

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Dis – Sebanyak sembilan kumpulan baru-baru ini telah menyertai Kejohanan Taekwondo Brunei Darussalam ke-3 yang diadakan di Kompleks Sukan Sungai Kebun, di sini.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Persekutuan Taekwondo Brunei Darussalam dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan itu telah dirasmikan oleh Presiden Persekutuan Taekwondo Brunei Darussalam, Haji Tajuddin bin Haji Mohd Salleh.

Pada kejohanan tersebut kumpulan Pasukan Belait telah meraih pungutan pingat teratas dengan memperoleh 6 emas, 4 perak dan 2 gangsa, diikuti Akademi Mixed Martial Arts ADN dengan 5 emas, 9 perak dan 4 gangsa dan Rick Taekwondo Studio dengan 5 emas, 3 perak dan 1 gangsa.

Hadir bagi menyerahkan pingat-pingat tersebut kepada para atlet ialah Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan di Jabatan Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat selaku tetamu kehormat majlis, Presiden Taekwondo Brunei Darussalam dan pegawai-pegawai lain daripada kedua belah pihak.

Cynthia Christine Chin Yee Tsien (dua kiri) memenangi pingat emas dalam kategori Bantam Senior Wanita.
Cynthia Christine Chin Yee Tsien (dua kiri) memenangi pingat emas dalam kategori Bantam Senior Wanita.

Kumpulan-kumpulan yang menyertai pertandingan itu terdiri daripada Pasukan Belait (taekwondo), Akademi Mixed Martial Arts ADN, Rick Taekwondo Studio, Unite Taekwondo, Apex Taekwondo, Dynamic Taekwondo Dojang, Kelab Taekwondo Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajah Mariam, Kelab Taekwondo Universiti Brunei Darussalam dan Akademi Taekwondo Wiraseni.

Beberapa kategori telah dipertandingkan dan disertai oleh 68 atlet dalam kumpulan umur berbeza, 33 atlet menyertai acara Senior 18 tahun ke atas, 19 atlet sertai acara Junior 16-17 tahun dan 16 atlet sertai pada acara 14-15 tahun.

ARTIKEL YANG SAMA