Pasukan bola jaring boleh ditingkatkan lagi

Pasukan bola jaring boleh ditingkatkan lagi

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Persembahan dan pencapaian pasukan Brunei pada Kejohanan Bola Jaring Asia baru-baru ini adalah di tahap yang menggalakkan terutama pada aspek ranking di rantau ini, meskipun kelemahan masih dapat dilihat pada sudut jaringan.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Jurulatih Bola Jaring Kebangsaan, Thilaka Jinadasa ketika menjelaskan bahawa bahagian penjaring perlu lebih berusaha di masa akan datang dan berhasrat untuk menampilkan lebih banyak permainan persahabatan antarabangsa bagi membiasakan pemain dengan permainan di bawah tekanan. Mengulas mengenai barisan pemain untuk skuad Sukan Asia Tenggara, menurutnya beliau dimaklumkan banyak pemain yang berpengalaman yang suka untuk mengaktifkan status permainan masing-masing pada skuad kebangsaan dan baginya itu berita yang sangat baik.

“Namun yang lebih penting bagi pemain-pemain adalah tahap kecergasan serta penyelarasan dalam berpasukan kerana itu adalah kunci utama kejayaan mana-mana pasukan yang menyertai sukan yang semakin pantas ini.”

Thilaka menambah, “Juga penting bagi sebuah pasukan di peringkat antarabangsa untuk dibarisi pemain yang berlatih secara berterusan dan meneruskan tahap kecergasan yang tinggi bagi memastikan semua perancangan permainan lancar dan efektif.”

Menurutnya lagi, pasukan seperti Malaysia antara pasukan yang perlu dicontohi bukan sahaja daripada aspek pengalaman kerana rata-rata pemainnya sudah menyarung jersi kebangsaan negara itu sejak tujuh hingga 10 tahun yang lalu dan ia memberikan mereka tahap kesefahaman dan permainan berpasukan yang mantap.

Ketua Jurulatih Bola Jaring Brunei Darussalam ketika ditemui baru-baru ini.
Ketua Jurulatih Bola Jaring Brunei Darussalam ketika ditemui baru-baru ini.

Pasukan berkenaan mempunyai barisan pemain yang berpengalaman dan itu yang perlu dilihat dan dicontohi oleh skuad Brunei Darussalam dan baginya pemain perlu sekurang-kurangnya bermain dalam satu pasukan yang sama dalam tempoh minimum empat tahun untuk tampil berjaya.

“Bukan bererti berehat itu tidak baik, namun ia merupakan sikap mementingkan diri sendiri yang perlu dielakkan oleh setiap pemain yang sememangnya sedar skuad kebangsaan perlu bermain bersama pada satu jangka masa yang lama untuk mengoptimumkan kesefahaman dan kejayaan perancangan dalam serangan dan juga pertahanan,” tegasnya lagi.

Beliau kemudian menegaskan bahawa sikap sebegini perlu dikikis kerana sebagai pemain kebangsaan, penyertaan di peringkat serantau dan antarabangsa itu dianggap sebagai satu pengorbanan yang murni untuk mengharumkan nama negara.

“Pada saya kita mempunyai kelebihan setelah selesai dua kejohanan besar di Thailand dan Korea baru-baru ini, namun pada saya apa yang sangat perlu adalah kecergasan kerana ia merupakan kunci utama dalam bermain di bawah tekanan pihak lawan selain melihat kepada aspek kemahiran dalam kalangan pemain,” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA