Pasukan bola jaring kebangsaan sedia bersaing

Pasukan bola jaring kebangsaan sedia bersaing

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jun – Pasukan Bola Jaring Negara Brunei Darussalam akan menyertai Kejohanan Bola Jaring Asia 2016 di Thailand yang bakal berlangsung pada penghujung Julai sehingga awal Ogos 2016 ketika Aidilfitri masih lagi diraikan di negara ini nanti.

Sehubungan dengan itu, Media Permata berpeluang meninjau persiapan pasukan berkenaan pada sesi latihan pasukan tersebut yang diadakan di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Ketua Pasukan Bola Jaring Kebangsaan, Dayangku Nur Amal Nadhirah binti Pengiran Haji Mohd Ali ketika ditemu bual menjelaskan bahawa pasukan kali ini adalah lebih baik dan mempunyai gabungan yang mantap termasuk daripada barisan pertahanan, tengah dan penjaring yang mempunyai kelebihan tersendiri.

“Meskipun masih banyak yang perlu dibuat untuk memantapkan pasukan kebangsaan kali ini, namun kami percaya kami progresif,” ujarnya kepada Media Permata sebelum menambah bahawa apa yang perlu ialah kolaborasi dan persefahaman yang tinggi.

“Setiap pemain perlu positif dan berusaha untuk mempersiapkan diri daripada aspek mental dan fizikal dan berharap semua berada di tahap yang terbaik dalam persiapan untuk menempuhi kejohanan kali ini,” ujarnya lagi.

Ketua Pasukan (kanan) dan Penolong Ketua Pasukan Kebangsaan ketika ditemui baru-baru ini.
Ketua Pasukan (kanan) dan Penolong Ketua Pasukan Kebangsaan ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, Penolong Ketua Pasukan, Dayang Siti Marhayati binti Ahmad ketika ditanya mengenai cabaran pasukan kebangsaan, katanya Brunei Darussalam ditempatkan sekumpulan bersama Sri Lanka, Afghanistan, Malaysia, Jepun dan Pasukan Amiriah Arab Bersatu (UAE) yang menarik diri daripada kejohanan kali ini.

Mengulas lanjut mengenai pasukan ini, beliau menegaskan berdasarkan analisis jurulatih kebangsaan, bagi beberapa pasukan seperti Sri Lanka yang bagi beliau mungkin boleh memberikan lawan tentangan hebat.

“Malaysia adalah pasukan yang mungkin memberikan tentangan terhebat kerana mereka mempunyai persamaan baik dari segi bahasa dan turut mengamalkan permainan psikologi yang boleh mengganggu fokus pemain kita,” jelasnya lagi.

Menurutnya lagi, sebuah lagi pasukan yang mencabar iaitu Jepun yang sememangnya terkenal dengan permainan pantas dan meskipun di bawah bimbingan jurulatih baru dari Hong Kong mereka pasti akan menggunakan kelebihan mereka untuk mengatasi persaingan di peringkat kumpulan.

Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama berpasukan pula, Dayang Siti Marhayati menegaskan setakat ini menurutnya seperti yang dihasratkan ia semakin baik dan ada kalanya berada pada tahap terbaik dan bukan perkara yang perlu dibimbangkan kerana katanya, “Saya yakin kami komited dalam membawa nama negara demi mencapai kejayaan.

“Kami berjaya menjalin persefahaman dan akan terus memastikan kami sepakat dalam permainan dengan sasaran tempat ke-5 bagi kali ini dan saya yakin ia banyak dipengaruhi oleh kerjasama dan persefahaman,” ujarnya lagi

Sebelum mengakhiri temu bual, mereka sepakat mengingatkan supaya semua pemain akan memberikan persembahan yang terbaik dan menggunakan kelebihan yang ada untuk meneruskan kemaraan pasukan kebangsaan di peringkat Asia nanti dan akan terus berjuang sehingga ke akhir kejohanan nanti.

ARTIKEL YANG SAMA