Pasukan Brunei catat kemenangan di WAITGC

Pasukan Brunei catat kemenangan di WAITGC

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Pasukan dari Negara Brunei Darussalam tidak pulang dengan tangan kosong apabila berjaya meraih dua hadiah utama dalam Kejohanan Dunia Golf Amatur Antara Pasukan (WAITGC) 2015 di Sungai Long Golf & Country Club dan The Mines Resort & Golf Course, Selangor Darul Ehsan, baru-baru ini.

Pasukan 10/10 Brunei yang dianggotai oleh Awang Yussop Daud, Haji Momin Syawal, Awang Suhaini Suhaili dan Syed Isnizam berjaya muncul sebagai naib juara Pasukan Stableford, sementara Mohd Zulehram Yakub dari Kabak Kabak Manz Brunei pula muncul sebagai pemenang Terbaik Individu Stableford.

Grand Finale selama tiga hari bermula 17 November 2015 berkenaan disertai oleh 100 pemain daripada 25 pasukan iaitu Australia (8 pasukan), Brunei (9), India (1), Jepun (2) dan Malaysia (5).

Mohd Zulehram Yakub daripada Kabak Kabak Manz Brunei muncul sebagai pemenang Terbaik Individu Stableford WAITGC 2015.
Mohd Zulehram Yakub daripada Kabak Kabak Manz Brunei muncul sebagai pemenang Terbaik Individu Stableford WAITGC 2015.

Sungai Long Golf & Country Club 18 lubang berkenaan direka oleh pereka terkenal Jack Nicklaus dan digelar sebagai ‘Taman Eden’ kerana memaparkan keunikan susun atur bergaya lagi moden dengan menawarkan cabaran yang adil bagi pemain golf di semua peringkat.

WAITGC merupakan inisiatif Tourism Malaysia untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi golf di rantau ini. Sejak diperkenalkan pada tahun 1994, WAITGC telah muncul sebagai kejohanan yang dianggap terbaik dan salah satu acara yang dinanti-nantikan di rantau ini.