Pasukan Dato Samid dan Haji Muhd Amin juara

Pasukan Dato Samid dan Haji Muhd Amin juara

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Kejohanan Golf Amatur Piala Audi quattro anjuran TCY Motors Sdn Bhd melabuhkan tirainya pada hari ketiga kejohanan, hari ini, dengan gelaran juara diraih oleh Pasukan Dato Samid dan Haji Muhd Amin setelah mengumpul 45 mata OCB.

Dengan kemenangan itu pasukan juara akan berpeluang bertanding dalam Kejohanan Golf Amatur Peringkat Akhir yang akan diadakan di Ocean Course, Cabo del Sol, Mexico.

Gelaran naib juara kejohanan kali keenam sempena sambutan Ulang Tahun Piala Audi quattro antarabangsa Ke-25 tahun itu, yang berlangsung di Royal Brunei Golf and Country Club, Jerudong ialah Pasukan Haji Osman bin Salleh dan Haji Raya yang mengumpul 45 mata, sementara di tempat ketiga ialah Pasukan Ang Kian Han dan Simon Newn yang berjaya mengumpul 44 mata OCB.

Hadir bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis penyampaian hadiah kejohanan yang berjaya menarik penyertaan 130 pasukan itu ialah Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Yang Berhormat Pehin Haji Hazair bergambar ramai dengan pemenang Kejohanan Golf Amatur Piala Audi quattro.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair bergambar ramai dengan pemenang Kejohanan Golf Amatur Piala Audi quattro.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Teng Chee Kiong menyampaikan replika cek sumbangan derma hasil kutipan daripada pendaftaran para peserta berjumlah $26,000 kepada wakil Pusat Ehsan, Haji Ahmad.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Teng Chee Kiong menyampaikan replika cek sumbangan derma hasil kutipan daripada pendaftaran para peserta berjumlah $26,000 kepada wakil Pusat Ehsan, Haji Ahmad.

Serentak diadakan pada majlis itu ialah penyampaian replika cek sumbangan derma hasil kutipan daripada pendaftaran para peserta berjumlah $26,000 kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Teng Chee Kiong kepada Pemegang Amanah Perancangan dan Dasar, Pusat Ehsan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman.

TCY Motors Sdn Bhd dalam kenyataannya hari ini berkata, pasukan juara dari 55 negara peserta akan melayakkan diri untuk menyertai kejohanan golf amatur terbesar di dunia yang dianjurkan oleh pengimport kenderaan Audi, yang sehingga kini telah menarik penyertaan sejumlah sejuta pemain golf serata dunia sejak mula diadakan pada 1991.

Kejohanan Golf Amatur Piala Audia quattro merupakan kejohanan golf berpasukan yang menggunakan peraturan Greensome Stableford atau peraturan Best Ball yang bermatlamat untuk meningkatkan pengalaman permainan golf yang bermain secara berpasukan.

ARTIKEL YANG SAMA