Pasukan dikir Masjid Muhammad Jamalul Alam juara

Pasukan dikir Masjid Muhammad Jamalul Alam juara

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 2 Mei – Jabatan Hal Ehwal Masjid bersama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Mohammad Bolkiah Kampung Serusop telah menganjurkan Pertandingan Dikir Brunei bagi Pegawai Masjid, Ahli Jawatankuasa Takmir dan Jemaah Masjid Senegara bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 bagi tahun 1437H/2016M.

Sehubungan itu, sebanyak lima pasukan antaranya dua pasukan wanita dan tiga pasukan lelaki telah menyertai pertandingan peringkat saringan Daerah Belait di Masjid Muhammad Jamalul Alam bagi memilih pasukan lelaki dan pasukan wanita ke peringkat akhir nanti.

Penghakiman pertandingan tersebut dikira dari sudut lagu, suara dan fasahah, dan kesemua peserta yang mewakili pertandingan telah mengikuti Bengkel Dikir Brunei sebelum ini.

Penyertaan bagi pasukan wanita telah diwakili oleh Kumpulan Dikir Masjid Mohammad Jamalul Alam, Masjid RPN Kampung Pandan dan Masjid Zainab Lumut, manakala pasukan lelaki pula terdiri daripada pasukan Masjid Muhamad Jamalul Alam dan Masjid RPN Kampung Pandan.

Atas/Bawah: Pasukan dikir lelaki dan wanita Masjid Muhammad Jamalul Alam Belait yang telah memenangi pertandingan peringkat saringan Dikir Brunei.
Atas/Bawah: Pasukan dikir lelaki dan wanita Masjid Muhammad Jamalul Alam Belait yang telah memenangi pertandingan peringkat saringan Dikir Brunei.

pg04_160503_b

Muncul johan dikir bagi lelaki dan wanita ialah pasukan dari Masjid Muhamad Jamalul Alam.

Pertandingan tersebut juga diadakan sebagai memberikan bimbingan dan pendedahan serta peluang kepada peserta mempelajari teknik dan kaedah berdikir yang betul supaya mampu mempersembahkan Dikir Brunei dengan baik dan sempurna, selain memperbaiki dan meningkatkan lagi mutu bacaan dari segi fasha, lagu dan suara yang akan dapat melahirkan individu atau kumpulan dikir daripada kalangan pegawai masjid, ahli jawatankuasa dan jemaah masjid.

Ia juga dihasratkan untuk menggalakkan peserta supaya akan terus mempelajari dan menguasai lagu-lagu dikir dan seterusnya dapat menyampaikan hajat masyarakat awam khususnya bagi menyerikan acara-acara keagamaan, dan juga bagi menggalakkan para pesertanya sentiasa mengamalkan selawat kepada Nabi Muhamad S.A.W supaya menjadi amalan harian dan beroleh berkat daripadaNya.

ARTIKEL YANG SAMA