Pasukan EU lawat Thailand timbang industri perikanan

Pasukan EU lawat Thailand timbang industri perikanan

BANGKOK, 19 Jan – Wakil Kesatuan Eropah yang melawat Thailand untuk menimbang perkembangannya dalam perjuangannya menentang penangkapan ikan haram dan tidak terkawal tidak akan membuat keputusan pada minggu ini mengenai sama ada mengharamkan produk makanan laut Thai, kata kerajaan hari ini.

Thailand, pengeksport makanan laut ketiga terbesar dunia, menghadapi risiko pengharaman selepas Kesatuan Eropah memberikannya “kad kuning” pada April kerana gagal bertindak keras ke atas masalah yang dihadapi dalam industri perikanannya.

Satu misi dialog EU untuk menilai perkembangan dijangka diadakan pada Khamis dan Jumaat tetapi satu kumpulan teknikal telah tiba, kata kerajaan.

Kumpulan itu sedang mengawasi perkembangan Thailand selepas ia menubuhkan sebuah pusat pada tahun lalu untuk memerangi penangkapan ikan haram, kata Naib Laksamana Jumpol Lumpiganon, jurucakap untuk Tentera Laut Diraja Thai.

“Sebaik sahaja mereka berpuas hati, mereka akan pulang dan membuat keputusan,” kata beliau, menambah tidak adanya jadual masa untuk keputusan dibuat. Kumpulan teknikal akan menjalankan pemeriksaan rambang sehingga semua pegawai EU tiba esok, kata beliau.

Pada minggu lalu, kerajaan berkata Thailand telah menamatkan “70 peratus daripada tugas” yang ditetapkan oleh EU, selepas mendaftar kebanyakan kapal perikanannya dan menangkap kumpulan yang disyaki menjalani penyeludupan orang dalam sektor perikanan. Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan berkata Thailand telah memperkenalkan undang-undang baru untuk mengelak satu pengharaman EU. – Reuters