Pasukan fokus Dunga

Pasukan fokus Dunga

TEMUCO, Chile, 15 Jun (Reuters) – Sensasi Brazil, Neymar meledak satu gol, muncul perancang untuk gol kedua dan dinobat ‘pemain terbaik perlawanan’ yang menghadiahkan kemenangan 2-1 ke atas Peru pada aksi pembukaan Copa Amerika, awal pagi tadi.

Begitupun, bagi pengendali Brazil, Dunga fokusnya tetap terarah kepada prestasi berpasukan berbanding kualiti individu yang ditampilkan kaptennya itu.

Pengurus penuh agresif Brazil itu melakukan tiga penukaran pada babak kedua termasuk dengan memasukkan penjaring gol kemenangan, Douglas Costa yang menggantikan Diego Tardelli pada minit ke-65 dengan gol kemenangan diledakkan pada masa kecederaan.

“Neymar penting namun Dani Alves juga penting, Miranda juga penting pada satu-satu ketika, Douglas Costa juga penting,” kata Dunga kepada wartawan selepas perlawanan.

“Kamu bercakap mengenai Neymar dan berkata dia melakukan hantaran kepada gol namun Dani Alves melakukan hantaran kepada untuk menjaringkan gol,” katanya.

Neymar (tengah) dikepung pemain Chile semasa aksi Copa Amerika, semalam. – AFP
Neymar (tengah) dikepung pemain Chile semasa aksi Copa Amerika, semalam. – AFP

Tindakan Dunga jelas ingin menyerlahkan semangat kolektif dalam skuadnya sekalipun sedar Neymar adalah tonggak dan menjadi tunjang kepada rakan-rakan pasukannya dalam kejohanan terbabit. Penyerang Barcelona itu jelas menjadi nadi kepada gerakan menarik Brazil malah sentiasa menjadi mangsa terjahan pemain Peru sepanjang permainan.

Peru begitupun terlebih dulu di depan menerusi jaringan Christian Cuevas seawal minit ketiga permainan namun pantas disamakan Brazil menerusi jaringan Neymar, dua minit kemudian.

Gol itu adalah yang ke-44 buat Neymar sepanjang 64 penampilan bersama pasukan kebangsaan yang meletakkannya di kedudukan kelima senarai penjaring terbanyak Brazil di belakang Pele, Ronaldo, Romario dan Zico menurut statistik rasmi Copa Amerika.

“Dia adalah pemain yang mampu memberi perubahan,” kata pertahanan Brazil, David Luis. “Saya gembira mempunyai pemain berkualiti sepertinya bersama kami,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA