Pasukan gabungan nafi sasar sekolah Yaman

Pasukan gabungan nafi sasar sekolah Yaman

RIYADH, 14 Ogos – Pasukan gabungan yang diketuai Saudi hari ini menafikan telah menyasarkan sebuah sekolah Yaman dalam serangan udara yang membunuh 10 kanak-kanak, sebaliknya mengatakan ia mengebom sebuah kem tempat pemberontak yang disokong Iran melatih askar bawah umur.

Doktor Tanpa Sempadan, agensi bantuan yang berpangkalan di Paris yang juga dikenali sebagai MSF, berkata kanak-kanak terbunuh pada Sabtu dalam serangan udara pasukan gabungan ke atas sebuah sekolah di Haydan, sebuah bandar di wilayah Saada yang ditawan pemberontak.

Pasukan gabungan negeri Arab itu telah bertempur dengan pemberontak Huthi sejak 2015 apabila pemberontak merampas Sanaa sebelum melanjutkannya ke bahagian lain di negara itu.

Jurucakap pasukan gabungan, Jeneral Ahmed Assiri berkata serangan itu melanda kem latihan Huthi, membunuh para pejuang militia termasuk seorang ketua yang dikenali sebagai Yehya Munassar Abu Rabua.

“Tapak itu telah dibom…merupakan kem latihan besar bagi militia,” ujarnya kepada AFP. “Kenapa kanak-kanak boleh berada di kem latihan?”

Kerajaan Yaman telah mengesahkan kepada pasukan gabungan bahawa ‘tidak ada sekolah di kawasan ini,” katanya.

Assiri berkata jumlah MSF ‘mengesahkan amalan Huthi yang merekrut dan menyasarkan kanak-kanak kepada keganasan’.

“Mereka…menggunakan kanak-kanak itu sebagai pengakap, pengawal, utusan dan pejuang,” kata Assiri, memetik laporan sebelumnya dari Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan ke atas penggunaan rekrut bawah umur pemberontak. – AFP