Pasukan Hitam Juara Polo

Pasukan Hitam Juara Polo

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Muiz Matzani

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Pasukan Hitam yang diketuai oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menjuarai Kejohanan Polo sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-69 tahun, yang berlangsung di Royal Polo and Riding Club, Jerudong.

Kejayaan itu diraih Pasukan Hitam setelah mengalahkan Pasukan Putih dengan 10 jaringan berbalas dua pada hari kedua kejohanan yang dianjurkan oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah.

Pasukan Hitam yang turut disertai oleh paduka anakanda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Awang Abu Kassim dan Mejar Eswandi telah menunjukkan permainan yang agresif lagi sejak chaka pertama apabila berjaya mencatat lima gol berbalas satu.

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam membuat pukulan semasa berangkat menyertai perlawanan akhir Kejohanan Polo sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-69, yang berlangsung di Royal Polo and Riding Club, Jerudong. Pasukan Hitam yang diketuai Baginda muncul juara selepas mengalahkan Pasukan Putih 10-2 dalam empat chaka.

Baginda Sultan, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dan Pasukan Hitam bergambar ramai bersama piala kejohanan.
Baginda Sultan, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dan Pasukan Hitam bergambar ramai bersama piala kejohanan.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai selepas Kejohanan Polo sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda selesai petang kelmarin.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai selepas Kejohanan Polo sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda selesai petang kelmarin.

Baginda Sultan kemudiannya berjaya membuat dua jaringan lagi pada minit pertama dan kesembilan chaka kedua yang berakhir dengan keputusan 8-1 tanpa mendapat tentangan hebat dari Pasukan Putih. Permainan di chaka ketiga menyaksikan kebangkitan Pasukan Putih yang cuba mengasak kubu Pasukan Hitam dan berupaya menambah satu mata jaringan hanya setelah memasuki lima minit perlawanan di chaka ketiga di samping membuat beberapa halangan yang menyukarkan Pasukan Hitam menjaringkan sebarang gol.

Pasukan Hitam bagaimanapun kembali mengatur serangan dalam chaka keempat dan berjaya menambah dua gol lagi kepada 10 manakala Pasukan Putih kekal dengan jaringan 10-2. Sebelum itu, dalam perlawanan menentukan tempat ketiga dan keempat, Pasukan Merah berjaya menumpaskan Pasukan Kuning 9-6.

Pasukan Merah yang diketuai oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah telah mendahului Pasukan Kuning seawal chaka pertama dengan jaringan 3-2

Pada chaka kedua, Pasukan Merah berjaya menambah dua lagi jaringan sementara Pasukan Kuning kekal dua gol hingga ke akhir chaka kedua.

Pasukan Merah bangkit semula pada chaka dan berjaya menjaringkan dua gol kepada tujuh sementara Pasukan Kuning juga berjaya menyumbat dua gol lagi menjadikan keputusan di akhir chaka ketiga kepada 7-4.

Chaka keempat menyaksikan kedua-dua pasukan berhempas pulas untuk mendapat jaringan gol dan Pasukan Merah akhirnya berjaya menumpaskan Pasukan Kuning dengan keputusan keseluruhan 9-6.

Baginda Sultan kemudiannya berkenan menyampaikan hadiah-hadiah kepada pasukan-pasukan yang mendapat tempat kedua, ketiga dan keempat serta berkenan menerima Piala Kejohanan sebagai penyandang juara daripada paduka anakanda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

ARTIKEL YANG SAMA