Pasukan HMD FT berlepas ke Kota London

Pasukan HMD FT berlepas ke Kota London

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Pemenang Piala Bank Standard Chartered Brunei (SCB) 2016, HMD FT, hari ini berlepas ke Kota London bagi menonton secara langsung perlawanan Liverpool FC dan juga menerima sesi latihan di Akademi Liverpool FC.

HMD FT muncul sebagai juara futsal Piala SCB yang diadakan dari 4 hingga 9 April lalu dan menerima ganjaran seumpamanya setelah berjaya menewaskan 24 pasukan dalam perlawanan merebut kejuaraan Piala SCB tersebut.

Menurut Ketua Hal Ehwal Korporat, Pemasaran Jenama Marilyn Graeme berkata “Kami sangat teruja untuk pasukan dan berharap mereka akan merebut peluang ini. Sebagai peminat LFC, pengalaman ini adalah sekali dalam seumur hidup dan kami ingin mengucapkan tahniah kepada mereka sekali lagi untuk memenangi hadiah. “

Sementara itu, ketua pasukan HMD FT, Awang Khairun Nadzereen bin Haji Awang Mohd Daud, melahirkan rasa gembira kerana berpeluang mendapatkan peluang ini dan mengucapkan terima kasih kepada Bank Standard Chartered dan penaja kejohanan bagi perjalanan mereka itu.

Pasukan HMD FT bergambar ramai sebelum berlepas ke Kota London.
Pasukan HMD FT bergambar ramai sebelum berlepas ke Kota London.

Sebagai sebahagian daripada jadual perjalanan, mereka akan menonton perlawanan LFC menentang Watford pada Ahad ini di tempat duduk kotak eksekutif dan menikmati hospitaliti kelab sebelum pulang ke tanah air.

Piala SCB 2016 disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Royal Brunei Airlines, Borneo Bulletin dan Media Permata, Redbull dan diiktiraf oleh Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai piala SCB, bolehlah melayari di laman sesawang www.sc.com/bn atau mengikuti laman Facebook bank tersebut di www.facebook.com/StandardCharteredBN.