Pasukan hoki kebangsaan mampu berkembang

Pasukan hoki kebangsaan mampu berkembang

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Khairil Hasan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Penyertaan pasukan hoki kebangsaan dalam siri dunia adalah satu kecemerlangan kerana Brunei merupakan sebuah pasukan yang giat membangun dengan menyasarkan Sukan Asia Tenggara 2017 sebagai tujuan utama.

Meskipun tidak berpengalaman untuk menyertai kejohanan yang besar seperti siri dunia terutama bagi pasukan lelaki berbanding pasukan wanita yang mempunyai sedikit pendedahan di beberapa siri serantau, kedua-dua pasukan menunjukkan prestasi dan keputusan yang baik dalam kejohanan siri dunia baru-baru ini.

Perkara itu ditegaskan oleh Jurulatih Penjaga Gawang Sukan Hoki Lelaki dan Wanita 2016, Henry Jonathan Baker ketika dihubungi berikutan perkembangan terkini pasukan hoki yang memuji pemain kebangsaan yang padanya mempunyai tahap komitmen dan kerja keras yang tinggi berbanding banyak pemain hoki lain yang pernah ditemuinya di serata dunia.

Beliau yang juga merupakan salah seorang pemain hoki berpengalaman di negara asalnya United Kingdom menegaskan, meskipun tiada pendedahan aktif seperti liga atau penyertaan dalam kejohanan di luar negara, pencapaian Brunei setakat ini adalah suatu yang sangat membanggakan.

“Saya berharap supaya lebih ramai atlet di negara ini mencontohi barisan pemain lelaki dan wanita Brunei Darussalam sebagai contoh kerana dengan sumber dan keperluan yang terhad mereka mampu mempamerkan kualiti permainan yang memberangsangkan,” ujarnya.

Henry Jonathan Baker ketika ditemui baru-baru ini.
Henry Jonathan Baker ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau menambah, “Bagi memastikan pembangunan berterusan di negara ini adalah untuk melihat penubuhan liga tempatan yang pastinya akan memberikan ruang dan peluang kepada penghasilan pemain baru, baik daripada peringkat sekolah, antara syarikat mahupun terbuka di peringkat nasional”

Henry Jonathan menambah, “Jurulatih Sukan Hoki Kebangsaan Lelaki dan Wanita 2016, Shaiful Azli Abdul Rahman dan saya sendiri mempunyai pengalaman untuk melihat pemain yang boleh disalurkan ke dalam skuad kebangsaan dan ia sangat diperlukan bagi memastikan kemaraan pasukan negara di persada antarabangsa di masa akan datang.”

Beliau menegaskan lagi bahawa melalui beberapa pendedahan dalam siri du-nia tahun ini, mereka menampakkan kematangan dan menjadi sandaran untuk membangun sukan yang semakin digemari ini dan memperlengkapkan mereka untuk menghadapi mana-mana pasukan dan sekali gus memberikan tentangan yang lebih hebat kepada skuad negara lain.

“Kami (Pihak Pentadbiran dan Kejurulatihan Sukan Hoki Brunei Darussalam) akan membangun program bagi pemain ini kerana yang kini hanya bergantung kepada pengalaman barisan pentadbiran dan jurulatih sedangkan pemain masih baru kepada permainan antarabangsa,” tambahnya.

Beliau menegaskan sukan hoki memerlukan kecergasan yang tinggi dan tubuh yang lebih tahan lasak dan menegeskan “secara logiknya kita melihat permainan hoki sebagai permainan yang mencabar lihat saja saiz bola dan kelajuannya apabila ia dipukul.

“Hoki bukan untuk semua orang dan sering kecergasan menjadi isu kerana ia sangat memerlukan pemain yang mampu bertahan di sepanjang perlawanan.” tegasnya lagi.

Mengulas mengenai pencapaian pemain dalam siri dunia beliau memberikan skuad hoki lelaki dan Brunei Darussalam dengan enam atau tujuh mata bagi kebolehan pemain namun ia ekoran kekurangan sumber dan jika melihat kepada aspek komitmen mereka meraih 10 markah dan keseluruhan di dalam siri dunia beliau berikan mereka markah lapan atau sembilan markah.

“Jurulatih Shaiful Azli Abdul Rahman dan saya sangat bangga dengan pencapaian mereka dan pada kami apa yang ditunjukkan dalam siri dunia baru-baru ini adalah satu permulaan yang sangat memberangsangkan dan mereka masih mempunyai ruang untuk memperbaiki pencapaian di masa akan datang.” ujar beliau.

ARTIKEL YANG SAMA