Pasukan Kadet Polis sambut Aidilfitri

Pasukan Kadet Polis sambut Aidilfitri

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Pasukan Kadet Polis bagi tahun 2015, hari ini, telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diselajurkan dengan bacaan tahlil dan doa arwah di Dewan Serba Guna Pusat Latihan Polis Gadong, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Latihan Kursus Kanan, Pusat Latihan Polis, ASP Pengiran Saifuddin bin Pengiran Haji Yussof selaku wakil pemangku komandan pusat latihan polis.

Juga hadir ialah Pegawai Menguasa Pasukan Kadet Polis, APS Pengiran Abdul Aziz bin Pengiran Haji Muhammad dan Ketua Tenaga Pengajar Pasukan Pancaragam Kadet Polis, Sarjan Mejar Haji Besrah bin Haji Mohamad Rais.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa arwah yang telah dipimpin oleh Ketua Kadet, Inspektor Abdul Aziz bin Haji Daud.

ASP Pengiran Saifuddin semasa menyampaikan sijil kepada para peserta.
ASP Pengiran Saifuddin semasa menyampaikan sijil kepada para peserta.
Gambar ramai kenangan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pasukan Kadet Polis bagi tahun 2015 yang berlangsung di Dewan Serba Guna Pusat Latihan Polis Gadong, kelmarin.
Gambar ramai kenangan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pasukan Kadet Polis bagi tahun 2015 yang berlangsung di Dewan Serba Guna Pusat Latihan Polis Gadong, kelmarin.

Majlis kemudian menyaksikan tetamu kehormat menyempurnakan penyampaian derma kepada ayah Allahyarhamah Siti Latifah binti Salim yang merupakan bekas ahli pancaragam kadet polis, Awang Salim bin Haji Sisa.

Seterusnya, majlis diikuti dengan penyampaian sijil kepada para kadet polis yang menyertai Pertandingan Kawad Program Khidmat Bakti Negara dan penuntut-penuntut Pasukan Kadet Polis yang mengikuti Kursus Sekapor Sirih Outward Bound di Temburong.

Majlis ini merupakan acara tahunan yang bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara para pegawai dan kadet-kadet polis di samping menyemarakkan lagi sambutan hari raya setiap tahun.