Pasukan Khas beku enam akaun bank

Pasukan Khas beku enam akaun bank

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) – Pasukan Petugas Khas berkenaan dakwaan dana disalurkan ke dalam akaun bank perdana menteri telah memerintahkan pembekuan enam akaun bank pihak yang dipercayai terlibat dalam kes itu.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed mengumumkan demikian dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Mereka berkata pasukan itu semalam juga telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan 17 akaun dari dua buah bank bagi membantu siasatan.

“Pasukan Petugas Khas juga telah mengambil dokumen-dokumen melibatkan isu ketidakpatuhan peraturan-peraturan dan kaedah Bank Negara Malaysia oleh bank terbabit,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut nama pemilik-pemilik akaun dan bank-bank yang terlibat.

Katanya: “Siasatan masih berjalan. Justeru, Pasukan Petugas Khas menyeru kepada semua pihak agar memberi kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan.”