Pasukan khas siasat dakwaan ke atas Najib

Pasukan khas siasat dakwaan ke atas Najib

KUALA LUMPUR, 5 Julai (AFP) – Sebuah pasukan khas sedang menyiasat pertuduhan bahawa siasatan ke atas dana pelaburan yang dikawal oleh kerajaan Malaysia mendapati berjuta-juta dolar telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri, menurut peguam negara.

Dakwaan itu telah mencetuskan kekecohan di Malaysia, dengan Perdana Menteri Najib Razak mengancam akan menyaman Wall Street Journal (WSJ) kerana menyiarkan laporan itu, manakala salah seorang timbalan beliau menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat dakwaan itu.

Peguam Negara Abdul Gani Patail berkata dalam satu kenyataan lewat semalam bahawa pasukan khas pelbagai agensi menyiasat ‘dakwaan yang berkaitan dengan aliran dana ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak’.

WSJ melaporkan bahawa hampir $700 juta disalurkan melalui agensi-agensi kerajaan, bank-bank dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan penggerak pelaburan, 1 Malaysia Development Bhd (1MDB), sebelum masuk ke akaun Najib.

Najib menafikan laporan itu sebagai ‘sabotaj politik’ dan 1MDB menafikan sebarang salah laku.

“Saya menasihatkan pasukan khas supaya melaksanakan laluan tindakan seterusnya,” Abdul Ghani berkata dalam kenyataan yang dikeluarkan dalam bahasa Melayu.

“Penyiasatan akan menumpu pada setiap aspek yang dibangkitkan. Saya yakin pasukan khas pelbagai agensi akan membolehkan penyiasatan dijalankan dalam cara profesional dan mendalam,” tambahnya, tanpa mengulas lebih lanjut lagi.

Dalam laporannya, WSJ menyebutkan dokumen yang menurutnya telah diperolehinya, termasuklah borang pemindahan bank dan carta aliran yang disediakan oleh para penyiasat kerajaan.

Akhbar itu melaporkan sumber asal wang tidak jelas dan mengatakan penyiasatan kerajaan tidak membutirkan apa yang telah berlaku kepada dana itu yang dikatakan masuk ke dalam akaun Najib.

Pejabat Najib berkata dalam satu kenyataan bahawa dakwaan itu adalah usaha ‘untuk menjejaskan keyakinan dalam ekonomi kita, mencemarkan kerajaan dan menyingkirkan perdana menteri yang dilantik secara demokrasi” dan menafikannya sebagai ‘sabotaj politik’.

Sementara itu, salah seorang penolong perdana menteri, mengatakan Najib akan mengambil tindakan undang-undang ke atas surat akhbar Amerika Syarikat itu.

‘Laporan itu pasti berniat jahat dan tidak berasas’, dengan sumber lemah dan meragukan.

Kami akan mengambil tindakan mengikut undang-undang,” Muhammad Khairun Aseh, setiausaha politik Najib dipetik sebagai berkata oleh surat khabar Sinar Harian semalam.

1MDB telah mengatakan ia tidak memindahkan sebarang dana kepada Najib.

ARTIKEL YANG SAMA