Pasukan KI LO juara Kejohanan Bola Jaring JSKLL

Pasukan KI LO juara Kejohanan Bola Jaring JSKLL

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Dis – Pasukan Kawalan Lalu lintas (KI LO) berjaya untuk menewaskan Pasukan Gabungan Unit Doket dan Unit Kompaun, dalam perlawanan akhir yang penuh debaran untuk muncul juara dalam Kejohanan Bola Jaring Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu lintas (JSKLL) yang berlangsung di Dewan Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis Gadong, hari ini.

Hadir untuk menyaksikan perlawanan akhir dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang kejohanan berkenaan ialah Isteri Pemangku Pengarah JSKLL, Hajah Norayati binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohd Nawawi.

Kejohanan itu menyaksikan sebanyak empat pasukan daripada unit-unit JSKLL iaitu Unit Operasi, Gabungan Unit Doket dan Unit Kompaun, Gabungan Unit Pentadbiran dan Unit Penyelidikan serta Pasukan KI LO beraksi di pusingan awal sebelum dua pasukan terbaik bertanding dalam pusingan akhir untuk menentukan juara kejohanan.

Dalam perlawanan akhir kejohanan, Pasukan KI LO bertemu dengan Pasukan Gabungan Unit Doket dan Unit Kompaun di mana kedua-dua pasukan bermain dengan baik namun kemenangan berpihak kepada Pasukan KI LO. Dalam kejohanan itu juga, Pasukan Unit Operasi pula menduduki tempat ketiga kejohanan berkenaan.

Hajah Norhayati bergambar ramai dengan para pemenang dalam kejohanan bola jaring berkenaan.
Hajah Norhayati bergambar ramai dengan para pemenang dalam kejohanan bola jaring berkenaan.

Kejohanan itu merupakan salah satu kegiatan tahunan hujung tahun JSKLL di mana selain bagi mengeratkan hubungan silaturahim di antara pegawai dan anggota JSKLL juga dihasratkan untuk menggalakkan amalan hidup yang sihat melalui kegiatan sukan.