Pasukan Lela Cheteria juara Piala Sabah

Pasukan Lela Cheteria juara Piala Sabah

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Pasukan Lela Cheteria, Majlis Lumba Perahu Kampung Lurung Dalam, baru-baru ini, telah membawa pulang Piala Sabah dalam Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) ke-3 yang diadakan selama dua hari di Teluk Likas, Sabah.

Sehubungan itu, ahli-ahli Pasukan Lela Cheteria hari ini berkesempatan bergambar ramai bersama Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz yang juga selaku Penaung Majlis Lumba Perahu Kampung Lurung Dalam.

Dalam perlumbaan itu, Pasukan Lela Cheteria telah memenangi acara lumba campuran 800m yang terdiri daripada 12 pekayuh lelaki dan lapan pekayuh perempuan dengan catatan masa 3:38.80, menewaskan Pasukan Boracay Allstars dari Filipina di tempat kedua dan Pasukan Mizanis Sport Boutique Kota Kinabalu di tempat ketiga.

Dengan memenangi perlumbaan itu, Pasukan Lela Cheteria membawa pulang wang tunai RM8,000, pingat kepada setiap ahli pasukan dan sebuah trofi.

Sebanyak 112 pasukan, termasuk China, Filipina, Indonesia dan pasukan tuan rumah mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM74,000.

YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bergambar ramai bersama ahli-ahli Pasukan Lela Cheteria yang memenangi Piala Sabah dalam Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) ke-3.
YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bergambar ramai bersama ahli-ahli Pasukan Lela Cheteria yang memenangi Piala Sabah dalam Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) ke-3.

Sebanyak sembilan kategori dipertandingkan dalam kejohanan itu termasuk kategori utama iaitu Piala Ketua Menteri Sabah (pasukan lelaki Malaysia), Piala TYT Sabah (pasukan lelaki antarabangsa dan Malaysia), Piala FCAS (pasukan lelaki Cina tempatan) dan Piala Sabah (pasukan campuran antarabangsa dan Malaysia).