Pasukan MPKPV dirasmikan

Pasukan MPKPV dirasmikan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan – Pasukan Bola Sepak Majlis Perundingan Kampung Pengkalan Batu Veteran (MPKPV) membuka lembaran barunya hari ini apabila penubuhannya dirasmikan di Dewan Kemasyarakatan Mukim Pengkalan Batu di sini. Hadir merasmikan pasukan tersebut ialah Timbalan Pengerusi MPK Pengkalan Batu, Haji Ishak bin Haji Abu Hanifah.

Kehadiran tetamu kehormat majlis dialu-alukan oleh Pengerusi Pasukan MPKPV, Haji Khairul bin Haji Yakup yang berpeluang menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Dalam ucapannya beliau menyatakan bahawa pasukan berkenaan telah mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan veteran lain dan akan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa di Wilayah Persekutuan Labuan tidak lama lagi.

“Bola sepak bukan saja sukan yang digemari setiap pemain malah ia menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturahim dan menjadi platform amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pemain-pemain” ujarnya.

Haji Ishak bergambar ramai bersama Pasukan MPKPV yang dirasmikan, kelmarin.
Haji Ishak bergambar ramai bersama Pasukan MPKPV yang dirasmikan, kelmarin.

Sementara itu, turut berucap ialah tetamu kehormat majlis yang antaranya menegaskan supaya penubuhan rasmi pasukan ini akan memangkinkan penglibatan lebih banyak bakat bola sepak dalam kalangan penduduk di Mukim Pengkalan Batu di sini.

“Pemain perlu gigih berusaha mempertingkatkan prestasi melalui latihan dan perlawanan dan perlu mengelakkan latihan pada saat akhir kerana persiapan sebuah pasukan yang mantap perlu dibuat lebih awal bagi memastikan kesiapsiagaan pemain dalam sesebuah perlawanan”, tegas Haji Ishak.

Beliau berharap supaya pasukan ini akan memberikan fokus kepada kejohanan anjuran DST dan pada masa yang sama memperluaskan lagi penyertaannya dalam kejohanan yang bertepatan dengan kriteria pasukan. Sebelum mengakhiri ucapannya beliau turut menasihatkan supaya kemudahan seperti padang dan apa-apa yang disediakan dimanfaatkan sebaiknya di samping mengingatkan supaya pemain dan seluruh pasukan akan menunjukkan profesionalisme dan tahap disiplin yang tinggi dalam dan luar padang.

ARTIKEL YANG SAMA