Pasukan negara bakal bersaing di Thailand

Pasukan negara bakal bersaing di Thailand

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Pasukan Sepak Takraw Kebangsaan akan menyertai Kejohanan Sepak Takraw ISTAF Super Series yang akan diadakan di Bangkok, Thailand bermula 1 hingga 6 Mac nanti.

Kali terakhir Brunei Darussalam dijemput bagi penyertaan kejohanan ini adalah pada tahun 2014 dan penyertaan skuad negara di persaingan itu bermula sejak tahun 2011 dan pencapaian terbaik negara ialah meraih pingat gangsa dalam acara regu.

Perkara itu antara yang dinyatakan oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Negara Brunei Darussalam (PESTABARU) Pengiran Haji Ali Hassan bin Pengiran DSLJ Haji Abas ketika dihubungi Media Permata hari ini.

Pengiran Haji Ali Hassan berkata,”kita akan menghantar lima orang pemain dan seorang jurulatih dan akan diketuai pengurus pasukan yang akan bertolak ke Bangkok pada 29 Januari 2016 dan pasukan negara berhasrat untuk memperbaiki pencapaian dalam kejohanan itu kali ini.”

Menurut beliau lagi, pemain-pemain kini sedang menjalani latihan dari jam 8 pagi hingga 11 pagi dan 2 petang hingga 4 petang di Dewan Kompleks Sukan Menglait,Gadong.

Beliau turut menambah bahawa perbelanjaan bagi kejohanan itu termasuk tiket penerbangan dibiayai oleh pihak penganjur termasuk perbelanjaan penginapan dan pengangkutan.

“PESTABARU akan menanggung perbelanjaan elaun pemain dan pegawai termasuk perbelanjaan runcit dan persatuan mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada IBIC Sdn Bhd (Pembuat dan pembekal air sehat) atas sumbangan 20 kotak air mineral botol kecil untuk minuman pemain-pemain semasa menjalani latihan,” ujarnya.

Pengiran Haji Ali Hassan turut menyatakan bahawa pihaknya mendapat jemputan di dalam dua kejohanan lain antaranya jemputan daripada Persatuan Sepak Takraw dan Persatuan Chin Lone Myanmar bagi menyertai 2nd Chinlone di Myanmar pada pertengahan bulan Februari nanti dan jemputan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) untuk menyertai 2nd Asian Sepak Takraw Championship 2016 di Korea pada 10 hingga 13 Mac, bagaimanapun PESTABARU tidak akan menyertai kedua-dua kejohanan itu atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

ARTIKEL YANG SAMA