Pasukan negara benam Maldives 56-34

Pasukan negara benam Maldives 56-34

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Pasukan Bola Jaring Belia Kebangsaan berjaya membenam Pasukan Maldives di dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pertamanya di Stadium tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Pasukan belia negara berkenaan mencatatkan pencapaian terbaiknya apabila berjaya meninggalkan Pasukan Maldives dengan mata 14-14 pada suku pertama, 16-3 pada suku kedua, 14-9 pada suku ketiga dan 12-8 pada suku keempat menjadikan kedudukan keseluruhan 56-34.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Ketua Jurulatih Bola Jaring Kebangsaan, Thilaka Jinadasa menyatakan rasa berpuas hati melihat corak permainan yang ditunjukkan anak buahnya ketika menewaskan Pasukan Maldives.

“Pada saya pasukan belia menunjukkan persembahan yang baik, meskipun pertama kali terlibat dengan perlawanan antarabangsa sebagai sebuah pasukan dan menunjukkan peningkatan pada setiap suku perlawanan dan pada saya mereka menunjukkan semangat yang tinggi dalam perlawanan hari ini,” tegasnya.

Menurutnya empat daripada pemain yang diturunkan hari ini merupakan kali pertama beraksi di dalam perlawanan antarabangsa antaranya ialah Dayangku Noor Nadziathul Nurul Nadiyah binti Pengiran Anak Mohd harun (Nadiah), Dayangku Noor Izzathul Taihanah binti Pengiran Anak Mohd harun (Athul), Angeline Sii Yeng Ping (Angeline) dan Dayangku Yura Rania Halimatus Sa’adiah Biah binti Pengiran Haji Yura Halim (Rania) yang turut memperlihatkan permainan yang memberangsangkan dan boleh diperbaiki.

Barisan pemain belia Kebangsaan bersama pasukan Maldives di dalam perlawanan persahabatan hari ini.
Barisan pemain belia Kebangsaan bersama pasukan Maldives di dalam perlawanan persahabatan hari ini.

“Ini membuktikan pasukan kebangsaan mempunyai peluang besar di masa akan datang jika mereka diberikan lebih banyak pendedahan dan penglibatan di dalam kejohanan di peringkat serantau atau antarabangsa,” tegasnya lagi.

Mengulas mengenai beberapa pemain senior di dalam pasukan itu, katanya ianya sangat berguna kerana mereka banyak memberikan bimbingan dan meningkatkan keyakinan pemain baru untuk melancarkan strategi perlawanan.

“Pada saya jaringan merupakan salah satu aspek penting dalam sukan ini dan ia banyak dipengaruhi dengan keadaan dan juga pengadil yang sering terlepas pandang kepada tindakan pertahanan dan perlawanan kedua bagi skuad ANC semalam mencapai ke tahap yang saya hasratkan.”

Beliau yakin kedua-dua pasukan bersedia untuk perlawanan antarabangsa kerana katanya skuad baru ini menunjukkan permainan yang seimbang dan mencapai tahap antarabangsa yang dihasratkan.

Apabila ditanya mengenai cabaran setakat ini katanya kewangan adalah yang utama dan kini masih lagi berhadapan dengan kewangan bagi mendapatkan tiket bagi skuad belia yang bakal menyertai kejohanan di Korea dan ia mungkin sahaja faktor kenapa pasukan itu bakal terlepas peluang di dalam kejohanan itu kali ini.

“Sebagai jurulatih dan warga persatuan kami perlu berkorban dan perlu banyak melaburkan, masa, tenaga dan kewangan untuk semua pemain dan juga bagi pasukan yang dibawa untuk menjayakan persahabatan antarabangsa kerana sukan in bukan sahaja mengenai latihan kerana makanan, dan kebajikan mereka juga suatu kepentingan yang perlu diberikan perhatian,” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi semua ahli sukan negara perlu diberikan perhatian yang berterusan bagi memastikan kemajuan dalam sukan masing-masing dan sebagai jurulatih ia bukan suatu yang sihat untuk sentiasa melatih pemain yang baru kerana sukan perlu dikembangkan dalam satu kelompok yang sama dalam tempoh tertentu.

Mengulas mengenai perlawanan semalam antara pasukan Kebangsaan menentang pasukan Maldives beliau menegaskan meskipun jaringan yang jauh kecil berbanding siri pertama iaitu kemenangan 66-19 namun katanya mereka menang dengan permainan yang meyakinkan.

ARTIKEL YANG SAMA