Pasukan negara berdepan tentangan hebat

Pasukan negara berdepan tentangan hebat

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Pasukan Kelab Boling Padang Wisdom (WBC) Brunei Darussalam menurunkan tiga buah pasukan untuk bertanding di Kejohanan Boling Padang Terbuka Triples Kinabalu Piala Borneo 2016 baru-baru ini.

Dalam kejohanan itu, Pasukan WBC terpaksa berhadapan dengan tugas sukar apabila terpaksa menempuh halangan menentang pasukan-pasukan terbaik di rantau ini termasuk Malaysia, Filipina, Thailand, Jepun dan Australia.

Pada hari pertama kejohanan, Pasukan WBC ‘B’ gandingan Nur Uzma Khadijah Haji Brahim, Hajah Amalia Metali dan Ampuan Hajah Lily Maryana Ampuan Haji Salleh turun dengan aksi meyakinkan apabila berjaya menundukkan Perth ‘B’ dari Australia dengan keputusan 20 berbalas 8.

Rentak kemenangan mereka itu berterusan di perlawanan kedua apabila sekali lagi mencipta kemenangan ke atas Pasukan Taurian dari Sabah dengan keputusan 18–8. Pada hari kedua mereka menang ke atas Sandakan ‘B’ 15–9.

Muhd Waie Badiuzzaman Ahmad membuat balingan ketika menentang juara bertahan IPTM ‘A’.
Muhd Waie Badiuzzaman Ahmad membuat balingan ketika menentang juara bertahan IPTM ‘A’.

Nasib berbeza bagi WBC ‘B’ apabila tewas tipis di tangan Pasukan Perth ‘C’ juga dari Australia dengan kiraan 10–11. WBC ‘B’ gandingan Haji Osman Haji Yahya, Kamarul Zaman Haji Bakar dan Hajah Fatimah Haji Ibrahim kurang bernasib baik apabila sekali lagi tewas tipis 15–16 kepada pasukan dari Sabah. Pada hari kedua mereka mencipta kemenangan pertama menewaskan LHDN ‘C’ 21–5.

Skuad senior dan remaja yang diletakkan sebagai Pasukan WBC ‘A’ terpaksa akur dengan kekalahan 10–16 kepada skuad Sukma Sabah pada hari pembukaan namun mereka berjaya bangkit dengan menewaskan skuad Sukma Labuan dengan kemenangan 17-8.

Pada hari kedua WBC ‘A’ bagaikan melepas geram apabila mencipta kemenangan selesa 31–2 ke atas USPTN Labuan ‘D’ namun kehangatan tidak bertahan lama apabila pada perlawanan seterusnya mereka kecundang pula di tangan juara bertahan IPTM ‘A’ dengan kiraan 13–14.

Pada sebelah petang, mereka tewas di tangan Filipina sebelum menutup perlawanan hari kedua dengan kemenangan selesa 22–4 ke atas Bowls Sabah ‘A’ .

Kejohanan selama empat hari ini itu akan melabuhkan tirainya pada 27 Mei dengan empat pasukan teratas daripada empat kumpulan akan mara ke pusingan kalah mati. Kesemua perlawanan berlangsung di Gelanggang Boling Padang Kinabalu, Kompleks Sukan Likas.